Februari 22, 2023
Isim Maqsur dan Manqus
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. ISIM MAQSUR

Isim maqsur ialah sejenis isim mu`rab yang huruf terakhir binaannya ialah alif maqsurah (ا/ى) dan huruf sebelum alif maqsurah itu pula berbaris fathah, seperti الـمُصْطَفَى, الفَتَى, الهُدَى, العَصَا, مُوسَى, عِيسَى dan lain-lain. Jika terdapat isim mabniyy yang berakhir dengan alif maqsurah, seperti مَتَى ia tidak dinamakan isim maqsur kerana ia bukan isim mu`rab. Begitu juga jika isim mu`rab tersebut berakhir dengan alif yang dipancangkan dengan huruf hamzah (mahmuz), seperti الخَطَأ, ia juga tidak dinamakan isim maqsur kerana huruf terakhirnya bukan alif maqsurah. Begitu juga dengan kalimah sepeti يَسْعَى, ia tidak dinamakan isim maqsur kerana ia merupakan kalimah fi`il.

.

Alif maqsurah merujuk kepada sejenis huruf yang dikenali sebagai al-alif al-hawi (الألِف الهَاوِي). Alif hawi ialah salah satu daripada huruf hijaiyyah yang tidak boleh dimulakan ujaran dengannya kerana sifatnya yang tidak menerima sebarang baris. Lawan kepada alif hawi ialah huruf alif yang bermaksud hamzah, yang merupakan huruf pertama dalam susunan huruf hijaiyyah.

.

Ibn Jinniyy berpendapat bahawa nama kepada huruf alif hawi ialah لَا; iaitu huruf yang disebut sebelum huruf ya’ ketika menghitung huruf-huruf hijaiyyah. Disebabkan huruf alif hawi tidak boleh dibunyikan seperti huruf-huruf yang lain, seperti ص, ج, maka huruf lam dijadikan sebagai perantara untuk membunyikannya sebagaimana huruf alif yang bermaksud hamzah dijadikan sebagai perantara untuk membunyikan lam al-ta`rif yang bertanda sukun (الْغُلَام). Adapun cara menyebut ‘lam alif’ itu adalah salah kerana kedua-dua huruf tersebut, iaitu lam dan alif telahpun disebut sebelumnya. Berhubung dengan bait Abu al-Najm yang berbunyi :

.

تَخُطُّ رِجْلَايَ بِخَطٍّ مُخْتَلِفْ أَقْبَلَتْ مِنْ عِنْدِ زِيَادٍ كَالخَرِفْ

* تَكْتُبَانِ فِي الطَّرِيقِ لَامَ أَلِفْ *

Jelas Ibn Hisham, boleh jadi Abu al-Najm mengambil sebutan itu daripada mulut orang awam. [Ibn Hisham, Abu Muhammad al-Ansari, 2004. Mughni al-Labib `an Kutub al-A`arib. Pentahqiq: Salah `Abdul `Aziz `Ali al-Sayyid. Kaherah. Dar al-Salam li al-Tiba`ah wa al-Nashr wa al-Tauzi`. jld. 2, hal. 499-500]

.

Jadi setiap isim mu`rab yang mempunyai huruf alif maqsurah pada bahagian akhir bongkah binaannya akan terhalang daripada menerima sebarang baris, sama ada baris dammah, fathah atau kasrah. Disebabkan ia terhalang daripada menerima baris, ia dinamakan maqsur, yakni terkurung. Perkataan maqsur bermaksud ‘terkurung’.

.

2. ISIM MANQUS

.

isim manqus pula ialah sejenis isim mu`rab yang yang huruf terakhir binaannya ialah ya’ lazimah (ي) dan huruf sebelum ya’ lazimah itu mestilah berbaris kasrah, seperti الـمُرْتَقِي, الدَّاعِي, الهَادِي, القَاضِي dan lain-lain. Jika terdapat isim mabniyy yang berakhir dengan ya’ lazimah, seperti الَّذِي ia tidak dinamakan isim manqus kerana ia bukan isim mu`rab. Begitu juga jika huruf sebelum ya’ lazimah bukan berbaris kasrah, seperti ظَبْيٌ, maka ia tidak dinamakan isim manqus kerana huruf sebelum huruf terakhir binaan tidak berbaris kasrah. Jika huruf ya’ tidak bersifat lazimah, yakni sentiasa melazimi bongkah binaan, seperti أَبِيك, maka kalimah أَبِيك tidak akan dikategorikan sebagai isim manqus. Huruf ya’ yang ada di bahagian hujung kalimah أَبِيك tidak melazimi kalimah أَب, kerana ada ketikanya kalimah أَب hadir dalam bentuk أَبُوك dan أَبَاك. Selain itu, kalimah seperti يَقْضِي bukan isim manqus kerana ia bukan kalimah isim.

.

Perkataan manqus bermasuk ‘sesuatu yang dikurangkan’. Persoalannya ialah apakah kekurang kalimah isim dalam golongan ini? Jawapannya ialah kalimah dalam golongan ini akan kekurangan huruf terakhir binaan ketika kehadiran tanwin. Contohnya perkataan seperti الـمُرْتَقِي, الدَّاعِي, الهَادِي, القَاضِي akan kehilangan huruf terakhir binaannya, iaitu ya’, sekiranya tanwin hadir ke atasnya. Ketika tanwin hadir, semua kalimah-kalimah tersebut akan menjadi مُرْتَقٍ, دَاعٍ, هَادٍ dan قَاضٍ.

Kongsikan Artikel Ini: