Jun 8, 2023
Istilah ‘al-taqdir’ dalam kajian ilmu Nahu
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Kita sedia maklum bahawa ilmu Nahu ialah bidang yang menumpukan soal hubungan komponen-komponen ayat antara satu sama lain dari sudut kesan i`rab. Hubungan ini melibatkan dua kategori komponen ayat. Pertama komponen yang dinyatakan dalam ayat. Kedua komponen yang tidak dinyatakan. Komponen yang dimaksudkan merangkumi perkataan dan bukan perkataan.

Baik. Secara ringkasnya bila kita membicarakan tentang istilah ‘taqdir’, ia bermaksud kita sedang berada dalam situasi menerang atau menjelaskan sesuatu yang tidak dapat dilihat atau didengari. Hal ini kerana ‘taqdir’ ialah proses menjelmakan sesuatu yang ditinggalkan, disembunyikan (الاستتار / الإضمار) atau digugurkan (الحذف) agar dapat dilihat dan didengari. Sebagai contoh, lihat ayat di bawah :

خَالد فِي المسجد

Khalid di dalam masjid.

Ayat di atas sebenarnya telah melalui proses pengguguran frasa predikat. Frasa predikat yang digugurkan ialah perkataan كَائن (berada). Asalnya ayat itu berbunyi خالد كائن في المسجد (Khalid ‘berada’ di dalam masjid). Oleh kerana ayat tersebut dapat difahami dengan baik walaupun ketiadaannya, maka ia pun digugurkan.

Soalnya bilakah kita akan menggunakan istilah ‘taqdir’? Kita akan menggunakannya apabila ingin menerangkan perkara ini kepada pihak yang lain. Dengan kata lain apabila guru tatabahasa ingin menerangkan kepada anak muridnya tentang ayat tersebut dari sudut tatabahasa.

Kemudian bahagian yang digugurkan itu seperti yang saya beritahu sebelum ini merangkumi perkataan dan bukan perkataan. Contoh bukan perkataan ialah :

كُنْتُ حِينَئِذٍ ما زلت صغيرا

Waktu itu aku masih lagi kecil.

Ayat di atas juga melalui proses pengguguran. Bahagian yang digugurkan misalnya ialah ‘dia pergi ke Mesir’.

(Waktu ‘dia pergi ke Mesir’, aku masih lagi kecil)

كنت حين سافر إلى مصر ما زلت صغيرا

Proses pengguguran ini adalah proses biasa dan berlaku dalam apa sahaja bahasa sekali pun. Begitu juga dengan proses menerang dan menjelmakan semula bahagian yang digugurkan berlaku dalam semua tatabahasa. Di dalam tatabahasa Arab, proses ini dinamakan ‘taqdir’.

P/s : Jika ingin diperhalusikan lagi perbincangan ini, ia memerlukan sebuah buku, bukan perkongsian ringkas di sini.

Kongsikan Artikel Ini: