1. Ia adalah isim ‘alam (kata nama khas) kepada suatu suku puak / kabilah. Disebabkan ia adalah isim ’alam kepada sebuah kalimah muannath, iaitu قَبِيلة maka ia dikategorikan sebagai isim la yansorif.
2. Berikut adalah beberapa kaedah berhubung isim la yansorif disebabkan status isim ‘alamnya (العلمية) dan status muannathnya (التأنيث) :
(i) Semua isim ‘alam dengan tanda ta’ (ة) secara mutlaknya adalah isim la yansorif.
(ii) Isim ‘alam tanpa tanda ta’ (ة) yang merujuk kepada muannath atau kalimah muannath yang bilangan hurufnya melebih tiga seperti زَيْنَب (perempuan) dan يهُود (kabilah قَبِيلة) adalah isim la yansorif.
(iii) Isim ‘alam tanpa tanda’ ta’ (ة) yang merujuk kepada muannath, yang mengandungi tiga huruf di mana huruf tengahnya berbaris sukun seperti هِنْد adalah BUKAN isim la yansorif.
* Sebahagian pengkaji Nahu menganggap ia boleh ditanwinkan atau tidak ditanwinkan.
(iv) Isim ‘alam tanpa tanda ta’ (ة) yang merujuk kepada kalimah muannath, yang mengandungi tiga huruf tapi huruf tengahnya berbaris seperti سَقَر (nama kepada kalimah muannath, iaitu النار – neraka) adalah isim la yansorif.
* Sebahagian pengkaji Nahu menganggap ia boleh ditanwinkan atau tidak ditanwinkan.
(v) Isim ‘alam yang asalnya nama lelaki kemudian diberikan kepada wanita sebagai nama adalah isim la yansorif.
* Sebahagian pengkaji Nahu menganggap ia boleh ditanwinkan atau tidak ditanwinkan.
3. Kata Ibn Malik rahimahullah :
كَذَا مؤَنَّثٌ بِهاءٍ مطلقا # وشرطُ مَنْعِ العارِ كَوْنُهُ ارتَقَى
فَوْقَ الثلاثِ أو كَجُورَ أوْ سَقَرْ # أو زَيْدٍ اسمَ امرأةٍ لا اسْمَ ذَكَرْ
“Begitu juga jangan ditanwinkan isim ‘alam muannath disebabkan ta’ (ة) secara mutlak. Dan syarat untuk dihalang tanwin daripada isim ‘alam muannath yang tidak mempunyai ta’ (ة) pula adalah bilangan hurufnya…..”
“…. mesti lebih daripada tiga atau seperti kalimah جُور atau سَقَر. Atau seperti زيد sekiranya ia nama perempuan, bukan nama lelaki.
4. Ketika menerangkannya dalam i’rab kita akan kata :
ممنوع من الصرْف للعَلَمِيَّةِ والتأنيثِ
5. Seperkara lagi, kalimah يَهُود adalah اسم جنْسٍ جمعيّ. Mufradnya adalah يَهُوديٌّ seperti عَرَب jamak dan mufradnya عَرَبِيّ.
176Ahmad Arif, Ahmad Muaz Mohamad Iszeham and 174 others