Februari 19, 2023
Kalimah-kalimah yang digolongkan sebagai isim Nakirah
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Tumpuan saya di sini adalah kalimah-kalimah yang diletakkan di bawah golongan isim nakirah, bukan makna atau fungsi isim nakirah. Mengetahui kalimah-kalimah yang dikira sebagai isim nakirah ini adalah prasyarat untuk mempelajari sejumlah bab dalam ilmu Nahu terutamanya bab mubtada’ khabar, hal, tamyiz dan sebagainya.

1. Isim-isim jins (kata nama am) yang tidak dimasuki alif lam atau bukan mudhof kepada isim makrifah adalah isim nakirah.

Contohnya قَلَم (pen), كِتَاب (buku), جَبَل (bukit), مَدْرسَة (sekolah) dll. Semuanya adalah isim nakirah kerana ia adalah kata nama am yang tidak tidak mempunyai alif lam dan juga bukan mudhof kepada isim makrifah.

Jika dimasukkan alif lam seperti القَلَم atau dimudhofkan kepada isim makrifah seperti قَلَمُهُ maka ketika itu ia bukan lagi isim nakirah. Ketika ini isim jins (kata nama am) adalah isim makrifah.

2. Isim istifham dan isim syarat seperti مَنْ, مَا , مَهْمَا dsb adalah isim nakirah. Contohnya kita kata مَنْ يَكْتُب. I’rab مَنْ di situ adalah mubtada’ dan yang membolehkan isim nakirah menjadi muntada’ di simi adalah كَوْنُهُ لفظًا عَامًّا. Mengetahui ketetapan ini adalah sangat mustahak dalam mempelajari bab مسوِّغات الابتداء بالنكرة (Sebab-sebab yang membolehkan isim nakirah dijadikan mubtada’).

3. Kalimah مَا yang membawa makna شيء, أمر dan مَكان adalah isim nakirah. Ia dipanggil ما النكرة الموصوفة. Perkara ini sangat mustahak ketika mempelajari tajuk موصول اسمي مشتَرَك. Contohnya seperti bait syair أُمَيَّة بن أبِي الصَّلْت :

رُبَّ مَا تَكْرَهُ النُّفُوسُ مِنَ الأ # مْرِ لَه فُرْخَةٌ كحَلِّ العِقَالِ

Kalimah مَا di situ bermaksud شيء atau أمر. Yakni رب شيء تكره النفوس atau رُبَّ أمرٍ. Jika orang tanya kenapa kita tidak anggap sahaja ما di situ adalah ما الموصولة, iaitu رُبَّ الَّذِي ? Ini tidak boleh kerana kalimah رُبَّ adalah hanya hadir ke atas isim nakirah. Kalimah الذِي adalah isim makrifah dan begitu juga dengan ما الموصولة adalah isim makrifah.

4. Kalimah مَا التعجبية adalah isim nakirah. Kalimah ما التَّعَجُّبِيَّة bermaksud شَيْءٌ عَظِيمٌ. Contohnya ما أحسن زيدا. Jadi ما di situ adalah mubtada’ isim nakirah dan yang membolehkan isim nakirah dijadikan mubtada’ di sini adalah kerana ia dianggap telah dikhususkan oleh sifat, iaitu شيء عظيم yang merupakan maksudnya tadi. Dalam I’rab kita akan kata :

مَا : مبتدأ وساغ الابتداء بها لأنها في تقدير التخصيص

Ketetapan ini sangat mustahak bagi yang mempelajari bab مسوغات الابتداء بالنكرة.

5. Kalimah غَيْر, مِثْل, شِبه, سِوَى ketika mudhof dan berkedudukan sifah. Ketika ini ia dianggap isim nakirah walaupun mudhof ilaihnya adalah isim makrifah. Contohnya:

مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ الله – القصص

ويَستبدل قومًا غيرَكم – التوبة

إنْ نحن إلا بشرٌ مثلكم – إبراهيم

Kalimah غَيْر di situ adalah sifah kepada isim nakirah, iaitu إله. Jika ia sifah kepada isim nakirah, maka ia adalah isim nakirah. Begitu juga dengan غيركم dan مثلكم.

6. Jumlah dan syibh jumlah dihukum sebagai nakirah. Oleh sebab itu jumlah dan syibh jumlah dii’rab sebagai hal jika berada selepas isim makrifah dan dii’rab sebagai sifah jika berada selepas isim nakirah. Ketatapan ini amat berguna dalam banyak bab dalam ilmu Nahu.

Masdar muawwal? Tidak. Masdar muawwal adalah makrifah, kerana jika ditaqdirkan ia akan menghasilkan masdar yang digabungkan dengan dhomir (isim makrifah). Contohnya أن تصوموا adalah صِيَامُكُم

7. Sifah musyabbahah yang menjadi mudhof kepada isim makrifah akan kekal sebagai isim nakirah. Ia tidak akan bertukar status kepada isim makrifah. Maka oleh sebab itu ia boleh menjadi sifat kepada isim nakirah. Contohnya :

جاء رَجُلٌ حسَنُ الخُلُقِ

Jika ditanya kenapa حسن الخلق boleh menjadi sifah kepada رجل padahal رجل adalah isim nakirah? Jawapannya sifah musyabbahah yang menjadi mudhof kepada isim makrifah tidak akan menjadi isim makrifah atau tidak dianggap makrifah dalam kes ia menjadi sifat kepada isim nakirah.

Cukup lah sekadar di atas. Jika diperincikan lagi ia akan panjang.

Kongsikan Artikel Ini: