Mei 24, 2023
Kata Kerja Transitif Berperantara
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Kata kerja transitif berperantara ialah golongan kata kerja transitif yang dihubungkan dengan frasa objek menerusi perantaraan partikel-partikel seperti مِنْ , إِلَى , عَنْ , عَلَى , فِي , لِ dan بِ. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.

Misalnya perkataan ‘mencari’. Apabila perkataan ‘mencari’ digunakan dalam ayat, ia akan diikuti oleh objek yang berfungsi melengkapkan maksudnya. Contohnya, ‘Saya mencari buku’. Tanpa frasa objek tersebut, iaitu ‘buku’, ayat itu dianggap tidak lengkap.

Dalam bahasa Arab kata kerja dalam kategori ini dikenali sebagai fi`il muta`addi (الفِعْل المُتَعَدِّي). Kata kerja transitif dalam bahasa Arab dibahagikan kepada dua golongan, tidak berperantara (الفعل المتعدي بِلا وَاسِطة) dan berperantara (الفعل المتعدي بواسطة). Apa yang saya ingin perkatakan di sini ialah jenis kedua, iaitu berperantara.

Kata kerja transitif berperantara dalam bahasa Arab tidaklah terlalu banyak. Mungkin boleh dianggarkan sebanyak 10% sahaja daripada jumlah keseluruhan kata kerja bahasa Arab. Namun begitu, golongan bukan penutur jati bahasa Arab sering melakukan kesilapan berhubung perkara ini.

Untuk lebih jelas, saya berikan contoh berikut:

Perkataan سَمَحَ (memberi keizinan). Perkataan ini dikategorikan sebagai kata kerja transitif berperantara. Apabila kita ingin mengalihkan ayat ‘Mereka tidak izinkan kamu lalu’ ke dalam bahasa Arab, apa yang perlu kita buat ialah membuat sedikit kajian berhubung bagaimana perkataan سَمَحَ berfungsi. Caranya ialah dengan melihat kamus. Setelah kita melihat kamus, kita akan dapati perkataan سَمَحَ hadir bersama-sama dengan partikel لِ. Dari situ kita dapat tahu bahawa perkataan سَمَحَ adalah kata kerja transitif yang menjadikan partikel لِ sebagai perantara yang menghubungkannya dengan frasa objek. Jadi ayat tadi diterjemahkan sebagai:

لَا يَسْمَحُونَ لَكَ بِالمُرُورِ

Tanpa proses di atas, bukan penutur jati, terutamanya orang Melayu akan membina sebuah ayat yang berbunyi:

لَا يَسْمَحُونَكَ المُرُور

Mereka tidak izinkan kamu lalu.

Sudah tentu pada kaca mata orang Arab, ayat ini dianggap salah. Puncanya ialah kita tidak mengkaji terlebih dahulu bagaimana perkataan سَمَحَ tersebut berfungsi.

Begitu juga apabila kita ingin menggunakan perkataan حَظِيَ untuk ayat seperti ‘Dia mendapat tempat pertama’. Tanpa kamus misalnya, kita akan berkata:

حَظِيَ المَرْتَبَة الأُولَى

Ayat ini salah. Ayat yang betul ialah:

حَظِيَ بِالمَرْتَبَةِ الأُولَى

Atau menggunakan عَلَى. Misalnya: حَظِيَ عَلَى المَرْتَبَة الأُولَى. Walaubagaimanapun, jika kita kembali kepada teori ‘kekerapan’, kita akan memilih partikel بِ sebagai perantara.

Kongsikan Artikel Ini: