Februari 19, 2023
Kenapa ayat من كان هودًا أو نصارى menggunakan lafaz jamak bukan mufrad seperti من كان هائدًا أو نصرانيًّا?
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

JAWAPAN :

1. Ya biasanya uslub مَنْ الشرطية / الموصولة + كان ini akan disusuli oleh kalimah mufrad. Contohnya :

من كان غنيًّا فليستعفف / من كان فقيرًا فليأكل بالمعروف / من كان مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر / من كان يريد. / إن الله لا يحب من كان مختالا فخورا / إن الله لا يحب من كان خَوَّانًا أثيما

Semua itu adalah yang biasa kita lihat. Persoalannya adakah kita boleh menggunakan kalimah jamak untuk tempat-tempat yang biasanya kalimah mufrad itu? Contohnya :

من كانَ مَرْضَى / من كان أغنياء / من كان فقراء

Jawapannya boleh tapi kurang digunakan oleh orang Arab berbanding من + كان + مفرد.

Namun ianya dibenarkan. Bukti ia dibenarkan adalah ayat 111 surah al-Baqarah tadi. Alasanya seperti berikut.

2. Dari sudut lafaz, kalimah مَنْ adalah mufrad. Adapun dari sudut makna, ia boleh merujuk kepada muthanna dan jamak bergantung kepada maksud yang dimahukan. Contohnya :

جاء مَنْ رأيتُهُ أمسِ / من رأيتها / من رأيتُهما / مَنْ رأيتُهُم / من رأيتُهُن

3. Berbalik kepada ayat tadi, kalimah مَنْ di situ disantuni berdasarkan dua aspek. Pertama aspek lafaz dan kedua aspek makna.

Penggunaan fi’il كان – bukan كانوا- adalah berasaskan kepada status kalimah مَنْ dari sudut lafaz, iaitu murfad. Jadi isim كان adalah mufrad.

Manakala penggunaan kalimah هُودًا (jamak هائد) dan نصَارَى (jamak نصْرَانِيّ) pula atas perkiraan bahawa مَنْ (orang-orang yang…) adalah jamak dari sudut makna. Jadi khabar كان adalah jamak.

Saya ulang soalan yang lebih tepat, adakah boleh isim كان mufrad dan khabar كان jamak jika terdapat kalimah مَنْ sebelumnya?

Ya boleh memandangkan lafaz مَنْ yang terdapat sebelum كان mempunyai dua status, iaitu mufrad jika dilihat dari segi lafaznya dan jamak jika dilihat dari sudut makna. Namun perlu diingatkan bahawa keadaan ini agak jarang berlaku.

4. Kata penyair seperti yang dinyatakan oleh Abu Hayyan di dalam البحر المحيط :

أيقِظْ مَنْ كانَ منكم نِيامًا

Digunakan كان sebab kalimah مَنْ adalah murfad dari sudut lafaz dan digunakan نِيامًا (jamak نائم) kerana مَنْ di sini membawa maksud jamak. Apa yang terjadi dalam kata-kata penyair di atas ialah isim كان adalah mufrad, iaitu dhomir mustatir هو dan khabar كان pula adalah jamak, iaitu نيَامًا.

5. Ada tak keadaan di mana مَنْ tidak boleh membawa maksud muthanna atau jamak? Ya ada. Contohnya seorang bapa menawarkan anak perempuannya untuk dikahwini kepada seorang lelaki. Kata si bapa :

اِخْتَرْ مَنْ أعجَبَتْكَ مِنْ بَناتِي

“Pilih siapa yang engkau berkenaan dalam kalangan anak-anak perempuanku.”

Di sini kalimah مَنْ adalah mufrad dari sudut lafaz dan makna. Kenapa? Kerana syarak tidak membenarkan seorang lelaki mengahwini adik dan kakak dalam sesuatu masa yang sama.

Kongsikan Artikel Ini: