Selain tatabahasa Arab, bahan bacaan amat penting dalam menentukan tahap penguasaan bahasa Arab seseorang. Seseorang yang pembacaannya hanya tertumpu pada sesuatu bidang sahaja tidak mungkin dapat menguasai bahasa Arab dengan baik berikutan kosa kata yang dimilikinya agak terhad. Misalnya, jika dia hanya membaca buku fekah, tauhid dsb maka tidak pelik kalau dia tidak tahu mengatakan “Pasangkan plug dan bukakan suis” dalam bahasa Arab. Malah ayat seperti “tolong suapkan anak” pun belum tentu dia boleh membinanya.
Untuk mengatasi masalah tersebut kita perlu perbagaikan bahan bacaan. Bahan bacaan yang melibatkan bidang-bidang ilmu seperti ilmu berkaitan bahasa, hukum hakam dll. Tak perlulah baca banyak, sikit-sikit sahaja, sekadar ambil tahu. Kemudian kita baca novel, surat khabar, majalah, cerpen dsb. Pointnya adalah memperbagaikan bahan bacaan. Sebab dari situlah kita dapat perbanyakkan kosa kata dan dapat ungkapkan apa yang kita ingin sampaikan dengan mudah, tepat, berkesan dan tidak janggal didengari oleh penutur jati Arab.
Dengan cara ini, kita dapat bertutur atau menulis dengan baik. Kita mempunyai kosa kata dan pola ayat yang cukup. Kita dapat meletakkan diri kita sebaris dengan penutur jati Arab. Kita tidak kaku dan kehilangan arah disebabkan kekangan kosa kata dan ketandusan uslub.
Apa yang berlaku hari ini ialah kita tahu perkataan yang hanya sekali dalam setahun digunakan tapi yang tiap-tiap hari digunakan kita tak tahu.
Mengapa begitu ?
Sebab bahan bacaan yang tak seimbang. Nama-nama benda, tindakan dan aktiviti harian hanya ada dalam bahan-bahan bacaan seperti novel, bukan kitab fekah, sejarah, tauhid dsb.
Habis tu bukankah lebih baik tengok kamus sahaja?
Ya tengok kamus untuk mencari maksud, bukan mengutip kosa kata. Kosa kata perlu diambil dari bahan bacaan kerana dari situ kita ada konteks dan dalam masa yang sama kita dapat tahu yang perkataan ini memang digunakan dan apakah perkataan-perkataan lain yang digunakan bersama-samanya.
Bagaimana nak pilih bahan bacaan agar seimbang?
Bacalah apa bidang pun, tapi berikan sedikit masa untuk majalah, surat khabar, cerpen dsb. Tengok kartun-kartun yang dialih bahasa ke bahasa Arab fusha seperti عدنان ولينا.