Februari 19, 2023
Maksud frasa بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي atau بِأَبِي هُوَ وَأُمِّي
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Frasa ini kerap ditemui dalam teks-teks hadis. Maksudnya ialah “Aku sanggup tebus engkau dengan bapa dan ibuku.. / Aku sanggup tebus dia dengan ayah dan ibuku..” atau padanan terjemahan lain yang sesuai.

Frasa ini menggambarkan kasih tidak berbelah bahagi para sabahat terhadap Rasulullah s.a.w sehinggakan jika keadaan memerlukan ayah dan ibu mereka sebagai ganti untuk menebus baginda maka mereka tidak akan teragak-agak untuk melakukannya.

2. Dari sudut bahasa, struktur بِأَبي أنت وأُمِّي telah melalui satu proses pengguguran frasa di mana asalnya ialah أَفْدِيكَ بِأَبِي وَاُمِّي. Bahagian أَفْدِيكَ (Aku tebus engkau..) tidak dinyatakan memandang maksud sudah pun difahami dengan jelas.

Apabila kita sudah tahu asal-usulnya, maka I’rabnya adalah seperti berikut.

بأبي : الجار والمجرور متعَلِّقان بِمحذُوفٍ تَقْدِيرُهُ أَفْدِيكَ بِأَبِي

أنْتَ : توكيد للضَّمِير الواقع مفْعُولًا بِأَفْدِي

الواو : حرف عطف وأمي : معطوف على أبي والجملة فعليةٌ.

Maksudnya “بأبي” adalah jar majrur di mana muta’allaqnya digugurkan, iaitu أَفْدِي atau أُفَدِّي. Dhomir أَنْتَ itu adalah taukid kepada dhomir ك yang merupakan maf’ul bihi kepada أَفْدِي. Kalimah أمي pula dima’tufkan kepada أبي. Jadi jumlah بأبي أنت وأمي atas perkiraan ini adalah jumlah fi’liyyah.

Berhubung dhomir أَنْتَ ini kita juga boleh anggap bahawa ia adalah jelmaan dhomir muttasil ك yang fi’ilnya dibuang. Apabila fi’il dibuang maka dhomir muttasil akan terlerai menjadi dhomir munfasil seperti أما أنت بَرًّا فاقترب dalam Alfiyah Ibn Malik yang asalnya adalah لأنْ كُنْتَ برًّا فاقترب.

3. Atau kita boleh I’rab bahawa أَنْتَ di situ adalah mubtada’ dan khabarnya dibuang. Asalnya adalah أَنْتَ مَفْدِيٌّ / مُفَدًّى بِأَبِي وَأُمِّي “Engkau akan ditebus dengan ayah dan ibuku..”. Khabarnya, iaitu مَفْدِيّ tidak dinyatakan atas faktor keringkasan dan jelas.

بأبي : الجار والمجرور متعَلِّقان بِمحذُوفٍ، خبر المبتدأ والتقدير أنتَ مَفْدِيٌّ

Disebabkan khabarnya dibuang maka ma’mul khabar (معمول الخبر), iaitu jar majrur بأبي diletakkan di pangkal ayat. Maka jadilah بأبي أنتَ وأمِّي. Atas perkiraan bahawa أَنْتَ adalah mubtada’ maka jumlah itu adalah jumlah ismiyyah.

4. Adakah boleh ma’tuf kepada ma’mul khabar, iaitu أمي diletakkan sebelum mubtada’ juga? Maksudnya boleh atau tidak jika kita kata بِأَبِي وَأُمِّي أنْتَ ? Jawapannya boleh tidak ada masalah.

5. Jika ungkapannya berbunyi بِأَبِي وأُمِّي tanpa disebut أنتَ atau هُوَ maka apakah I’rabnya? Ketika ini I’rabnya hanya satu, iaitu jar majrur itu muta’allaqnya adalah fi’il أَفْدِي yang dibuang. Jadi jumlah itu adalah jumlah fi’liyyah.

6. Apakah maksud فِدَاكَ أبِي وأَمِّي ? Maksudnya “Penebus engkau adalah ayah dan ibuku”. Ketika ini فِدَا adalah mubtada’ dan أبي adalah khabar. Ungkapan ini adalah petunjuk bahawa بأبي أنت وأمي mengandungi makna فِدًى, iaitu penebusan / perihal menebus.

7. Sabda Rasulullah s.a.w :

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ والناس أجمعين – البخاري

“Tidak sempurnalah iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku disayanginya lebih daripada ayahnya, anaknya dan sekalian manusia.”

Kongsikan Artikel Ini: