Ogos 20, 2022
Memahami Fungsi Partikel Waw
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Bukan semua و dalam bahasa Arab diterjemahkan sebagai “dan”.

Ya. Bukan semua و diterjemahkan sebagai “dan”. Huruf و yang bermaksud “dan” hanya satu, iaitu واو العطف atau dipanggil juga واو النسق.

Huruf-huruf و yang lain seperti واو الحال, واو المعية, واو القسم, واو الاستئناف bukan bermaksud “dan” dan tidak boleh diterjemahkan sebagai “dan”. Berikut adalah contoh و dalam ayat yang bukan bermaksud “dan”.

  1. Waw al-Hal (ketika, sambil, semasa dsb)

لَا تَرُدَّ على المكالمة وأنت تسوق.

Jangan jawab telefon ketika sedang memandu.

  1. Waw al-Maiyyah (menelusuri, ikut, dengan)

سِرْتُ والطريقَ / والنهرَ

Aku jalan ikut jalan itu / menelusuri sungai itu.

استوى الماء والخشبَ

Air naik dengan kayu itu sekali.

  1. Waw al-Qasam (demi)

واللهِ

Demi Allah

  1. Waw al-isti’naf. Waw yang digunakan untuk menunjukkan ayat selepas tidak lagi berada di bawah pengaruh i’rab sebarang amil dalam ayat sebelumnya. Contohnya firman Allah swt :

هو الذي خلقكم من طين ثم قضى أجلا وأجل مسمى عنده

Huruf waw pada وأجل di situ adalah waw al-isti’naf. Jika ia adalah waw ataf, maka bacaannya adalah وأجلا مسمى yang hukumnya mansub.

Berhubung terjemahan pula, penterjemah perlu menggunakan kemahiran bahasa sasarannya sama ada ingin menterjemahkannya sebagai “dan” atau tidak menterjemahkannya langsung. Penentunya adalah tahap kegramatisan bahasa sasaran walaupun pada asasnya waw al-istinaf bukan bermaksud “dan” atau dengan kata lain bukan termasuk dalam kata hubung.

Nota Tambahan : Adakalanya atas faktor perbezaan aturan pengstrukturan ayat di antara bahasa Melayu dan Arab, kita juga tidak terjemahkan waw atof. Misalnya :

على وأحمد وفاطمة

Kita terjemah, “Ali, Ahmad dan Fatimah” menggunakan sepatah perkataan “dan” sahaja sebelum Fatimah.

Kadang-kadang waw ataf diterjemahkan sebagai “tetapi” dalam ayat gabungan dua fakta bertentangan. Contohnya :

نصحتُهُ ولم يَمْتَثِلْ

Aku sudah nasihatkannya tapi dia tidak ikut.

Jangan melihat semua و adalah “dan”. Berhubung kitab-kitab jawi yang kebanyakan ditulis di bawah pengaruh bahasa Arab, itu adalah cara dan gaya mereka terdahulu. Banyak faktor yang mendorong mereka berbuat demikian.

Kongsikan Artikel Ini: