Februari 19, 2023
Menentukan muta’allaq Jar Majrur الجار والمجرور dan kedudukan I’rabnya
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Muta’allaq adalah unsur tertentu dalam ayat yang diterangkan oleh jar majrur. Contoh dalam bahasa Melayu “Ahmad berada di dalam Rumah.”

Frasa “di dalam rumah” itu menerangkan perkataan “berada”. Jadi perkataan “berada” itulah yang disebut sebagai مُتَعَلَّق.

Kalau ayat “Ahmad di dalam rumah” pula di manakah muta’llaqnya?

Di sini ulamak Nahu mengandaikan “berada” itu. Ini dipanggil تقدير المحذوف “mengandaikan sesuatu yang digugurkan”.

Jika sudah faham idea ini mari kita kembali kepada ilmu Nahu dan bahasa Arab.

2. Jika jar majrur hadir dalam ayat sebagai sifat (صفة), silah mausul (صِلة الموصول), khabar (خَبَر) atau hal (حَال) maka muta’allaqnya (مُتَعَلَّق) adalah lafaz yang digugurkan, iaitu sama ada lafaz كَائِن (ada / berada) atau lafaz اِسْتَقَرَّ (ada / berada) atau lafaz lain yang akan diperincikan sebentar lagi. Contohnya :

2.1. Jar majrur sifat

جاء رجلٌ مِنْ بيْتِهِ

Jar majrur dalam ayat ini adalah مِنْ بَيْتِهِ. Memandangkan ia datang selepas نَكِرَة مَحْضَة maka ia di’irab sebagai sifat. Contoh lain, firman Allah s.w.t ولما جاءهم رسولٌ من عند الله. Muta’allaqnya adalah كَائِن dan lafaz كائِن itu dikira sebagai mausuf.

من بيته : الجار والمجرور متعلقان بمحضوفٍ، صفة للفاعل والتقدير : جاء رجلٌ كائِنٌ من بيتِهِ

2.2. Jar majrur silah mausul

جاء الرَّجُلُ الذِي في البيتِ

Jar majrur dalam ayat ini adalah في البيت. Disebabkan ia berada selepas isim mausul maka ia adalah silah mausul. Disebabkan silah mausul mestilah jumlah, maka kita perlu gunakan lafaz اسْـَقَرَّ sebagai tadir muta’allaqnya. Tidak boleh كَائِن. Contoh lain, firman Allah s.w.t ياأيها الناسُ كُلُوا مِمَّا في الأرْضِ حلَالًا طَيِّبًا. Jar majrur في الأرض adalah silah kepada isim mausul musytarak مَا sebelumnya.

في البيت : الجار والمجرور متعلقان بمحذوفٍ، صِلَةُ الموصول، لا محلَّ لها

من الإعراب والتقدير : جا الرجل الذي استَقَرَّ في البيت

2.3. Jar majrur khabar

هُوَ فِي البيت

Jar majrur dalam ayat di atas adalah في البيت. Muta’allaqnya tidak dinyatakan dalam ayat, iaitu كائِن atau استَقَرّ.

في البيت : الجار والمجرور متعلِّقَان بِمَحْذُوفٍ، خَبَرُ المبتدَأ والتقدير : هو كائِنٌ

في البيت

2.4. Jar majrur hal

كتَبْتُ بالقَلَمِ

Jar majrur بِالقَلَم dalam ayat ini muta’allaqnya digugurkan. Disebabkan jar majrur berada selepas fi’il di mana fa’ilnya isim makrifah, tidak boleh dianggap maf’ul bihi, maf’ul liajlihi, tamyiz dsb, tidak terdapat isim mausul sebelumnya dan bukan badal maka I’rabnya adalah hal.

بالقلم : الجار والمجرور متعلقانِ بمحذوف، حال من الضمير والتقدير : كتبتُ مستعينًا / حال كوني مستعينا بالقلم

Untuk i’rab jar majrur hal ini, rakan-rakan perlu menguasai makna-makna huruf jar terlebih dahulu dan juga konteks ayat. Contoh lain سبحان الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصَى. Jadi taqdirnya مبتدئًا من المسجد الحرام dan مُنْتَهِيًا إلى المسجد الأقصى.

3. Kesimpulannya adalah jika jar majrur adalah sifat, silah mausul, khabar atau hal maka muta’llaqnya dihazaf / digugurkan. Perinciannya seperti yang saya nyatakan di atas.

4. Jika jar majrur datang sebagai penghubung di antara fi’il dan maf’ul bihi maka ketika ini muta’llaqnya adalah fi’il berkenaan. Contohnya : رَضِيتُ عَن الرَّجُلِ “Aku suka / berpuas hati dengan lelaki itu”. Jar majrur عن الرجل akan diirab seperti berikut :

عن الرجل : الجار والمجرور متعلقان برَضيتُ، في محل نصبٍ على المَفْعُولِيَّة / مفعول به

Kita tidak boleh I’rabnya sebagai حال seperti 2.4 di atas kerana الرجل itu adalah maf’ul bihi pada makna dan tempatnya. Berbeza dengan pen, ia bukan maf’ul bihi (benda yang ditulis).

Contoh lain firman Allah s.w.t : أنعَمْتَ عليهم غير المَغْضُوبِ عليهم.

أنعمت عليهم : الجار والمجرور متعلقان بأنعمت، في محل نصب على المفعولية / مفعول به

غير المغضوب عليهم : الجار والمجرور متعلقان بغير المغضوب، في محل رَفْعٍ على النِّيابَةِ عن الفاعل / نائبُ فاعلٍ

5. Jika jar majrur tidak datang dengan ciri-ciri seperti yang diterangkan dalam perkara 2 dan 4 di atas maka i’rabnya bergantung kepada fungsinya dalam ayat itu sama ada maf’ul liajlihi (مفعول لأجلِهِ), tamyiz (تمييز), badal (بَدَل) dan sebagainya. Saya tidak mahu perincikan perkara ini.

6. Semua maklumat di atas masih ada perincian yang saya tidak dapat jelaskan di sini. Misalnya apabila muta’allaq jar majrur dinyatakan dalam ayat, maka jar majrur tidak dianggap berada di apa-apa kedudukan i’rab. Ia hanyalah مُتَعَلِّق الفِعْلِ. Contohnya هو جالس في بيته. Jar majrus في بيته hanya diirab seperti berikut :

في بيته : متعلقان بجالس

Begitu sahaja tanpa perlu nyatakan apa-apa selebihnya. Begitu juga dengan جاء الذي أكل في البيت, خرجوا مُتَّجِهِينَ إلى الحديقة dll.

Saya juga tidak perincikan hurur jar yang tidak mempunyai muta’llaq, iaitu hurur jaz zaidah (حرف الجر الزائد), الكاف, huruf jar رُبَّ, لعَلّ serta khilaf-khilaf yang berkaitan.

7. Maklumat ini adalah maklumat umum. Rakan-rakan boleh memperolehinya daripada mana-mana kitab ilmu Nahu tahap Alfiyyah Ibn Malik menerusi tajuk jar majrur.

Kongsikan Artikel Ini: