Menghuraikan ilmu Nahu kepada orang Melayu akan melalui beberapa peringkat. Peringkat pertama adalah mengulangi semula apa yang diperkata dan dibincangkan oleh para sarjana Arab dengan menggunakan cara dan bahasa seperti yang mereka gunakan. Peringkat ini sangat mudah. Apa yang perlu dilakukan hanyalah membuka mana-mana buku Nahu dan menterjemahkan apa yang boleh diterjemah dan mengekalkan apa yang dirasakan tidak boleh diterjemah. Di peringkat ini memang terlalu mudah kerana kita akan mengulangi benda yang sama, bermula dari istilah, takrif, contoh sehinggalah ke susunan tajuk.
Peringkat kedua adalah peringkat di mana seseorang itu cuba membandingkan antara ilmu Nahu dan tatabahasa Melayu. Peringkat ini agak sukar kerana dia perlu menguasai kedua-dua tatabahasa, terutama tatabahasa Arab. Peringkat ini memerlukan pembacaan yang meluas terhadap perbahasan ilmu Nahu, terutamanya perbahasan-perbahasan yang terdapat di dalam buku-buku Nahu induk, seperti (al-Kitab) Sibawaih, (Maani al-Quran) al-Farra’, buku-buku al-Mubarrid, al-Zajjaj, al-Zamakhsyari, Ibn `Usfur, Ibn Malik, Ibn Hisyam dan lain-lain.
Di peringkat ini, seseorang itu akan terdedah dengan sudut pandangan yang berbeza-beza berhubung sesuatu perkara di mana secara tidak langsung dia akan lebih menjiwai setiap pendekatan yang diambil oleh ulama Nahu dalam mengumpul, menganalisa, menghurai dan membuat ketetapan berhubung sesuatu unsur bahasa yang ada kaitan dengan ilmu Nahu.
Dengan melepasi peringkat kedua ini, dia akan menjadi seorang yang lebih terbuka dan mula memilih untuk menyepikan diri buat sekita dari perbincangan-perbincangan mereka yang berada di peringkat pertama tadi. Waktu ini dia mula rasa kurang selesa dengan mereka yang suka berhujah tentang I’rab itu dan ini, bertengkar tentang i`rab, bergaduh, menjadikannya sebagai pentas mempamirkan kehebatan yang kesemuanya adalah ‘copy&paste’ sahaja. Bila diminta menulis dalam bahasa Arab atau bercakap, berterabur sana sini.
Saat ini juga dia mula tertanya-tanya adakah perbahasan seperti ini yang patut dikemukakan kepada penuntut bahasa Arab dari kalangan bukan penutur jati? Saat ini dia mula memikirkan bagaimana hendak mengumpulkan segala yang diperkatakan di dalam buku-buku awal ilmu Nahu, seperti buku Sibawaih, al-Farra’, al-Zajjaji, al-Zamakhsyari dll dan seterusnya memilih, menyusun serta mengemukakan hasilnya kepada anak bangsa dalam bentuk yang betul-betul memanfaatkan mereka.
Peringkat yang ketiga, dia mula melangkah setapak ke hadapan dengan menekuni buku-buku yang membahaskan tentang balaghah, terutamanya karangan Abdul Qahir al-Jurjani, al-Khatib al-Qazwini dan al-Sakkaki. Di situ dia cuba menggabungkan inti pati ilmu tersebut dengan ilmu Nahu, dan seterusnya mengemukakannya kepada anak bangsa dengan cara yang dilihatnya sesuai dan menjimatkan masa mereka.