Jun 11, 2022
Menyantuni Seseorang Dalam Bahasa Arab
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Menyantuni di sini bermaksud melontarkan kata-kata yang halus dan berbudi bahasa kepada seseorang di awal pertemuan.

Terdapat berbagai-bagai ucapan yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut, tetapi ucapan paling kerap digunakan ialah :

مُنَوَّر

Ucapan ini diucapkan dengan nada girang, sopan dan dihiasi dengan seukir senyuman. Maksud ucapan ini ialah “Eh, berseri-seri kamu (bercahaya) ;-)”. Jika ditujukan kepada perempuan, huruf ta’ marbhuthah akan diletakkan di hujungnya (مُنَوَّرَة).

Seperti biasa sebarang ucapan di dalam bahasa Arab mempunyai jawapan balasnya yang tersendiri. Jawapan balas kepada ucapan مُنَوَّر ini ialah :

النُّور نُورُكَ / بِوُجُودِكَ

Maksudnya : “Cahaya itu cahaya kamu ” @ “Aku berseri-seri sebab adanya kamu ”.

Tapi disebabkan bahasa percakapan harian penutur jati Arab menggunakan kaedah ‘mematikan baris kata ganti nama diri dan memindahkannya kepada huruf terakhir perkataan’, maka kita sering mendengar mereka menyebutnya seperti berikut :

النُور نُورَكْ / بِوُجُودَكْ Lelaki

النُور نُورِكْ / بِوُجُودِكْ perempuan

Selain itu ucapan ini juga boleh didatangkan dalam bentuk fi`il. Misalnya bila saya menerima kunjungan seseorang, kata-kata pertama selepas أَهْلًا وَمَرْحَبًا بِكَ atau dalam bahasa pasarnya يَا هَلَّا, saya akan berkata :

نَوَّرْتَ مَنْزِلِي

“Kamu menyinarkan / membuatkan rumah saya berseri-seri”. Ucapan balasnya sama juga seperti sebelum ini, iaitu بِوُجُودِكَ.

Contoh lain ialah :

Ahmad :

أهْلًا أَهْلًا يَا سَعِيد نَوَّرْتَ مَدْرَسَتَنَا

“Selamat datang Said, kamu menyerikan sekolah kami ”

Said :

بِوُجُودك

Contoh lain :

قَرْيَتُنَا سَتَتَنَوَّر بِزٍيَارَتِك

“Kampung kami pasti akan berseri-seri dengan kunjungan kamu”.

Kongsikan Artikel Ini: