1. Frasa لله دَرُّهُ digunakan untuk memuji seseorang atas kebaikan atau perkara-perkara hebat yang dilakukannya. Apabila melihat seseorang menderma sejumlah wang, kita terus ucapkan kakepadanya لله دَرُّكَ. Apakah maksud asal frasa ini?
2. Menurut أبو العَلاء المَعَرِّي di dalam kitab beliau اللَّامِع العَزِيزِيُّ شرح ديوان المُتَنَبِّي, perkataan دَرّ bermaksud susu. Justeru frasa لله دَرُّهُ secara literalnya bermaksud “Susunya adalah milik Allah”. Yakni susu yang diminumnya ketika bayi adalah susu Allah s.w.t sehingga terhasilnya beliau sekarang sebagai seorang yang hebat dan budiman.
Ya, sudah tentu semua susu adalah milik Allah s.w.t yang mencipta dan memiliki segala-galanya. Namun apabila dinisbahkan sesuatu kepada-Nya maka sudah tentu sesuatu yang dinisbahkan kepada-Nya itu mempunyai kedudukan yang istimewa. Sama seperti نَاقَة الله “unta Allah” dalam ayat وَيَا قَوْمِ هَٰذِهِ نَاقَةُ اللَّهِ لَكُمْ آيَةً : هود : 64 di mana ia sesekali tidak menafikan unta-unta lain pun adalah milik Allah.
Dalam versi yang lain seperti yang diceritakan oleh Ibn Sidah dan dinukilkan oleh مرتضى الزبيدي di dalam تاج العروس, seorang lelaki melihat sahabatnya memerah susu unta dan susu yang diperahnya keluar dengan banyak. Lalu lelaki itu pun berkata kepada kawannya, لله دَرُّكَ “Susu kamu itu milik Allah”. Sejak dari hari itu frasa ini terus digunakan orang Arab mengekspresikan rasa kagum terhadap semua perkara baik yang dilihat.
3. Berbalik kepada لله دَرُّه tadi, maksud literalnya adalah “Susu yang diminumnya adalah milik Allah s.w.t”. Oleh yang demikian tidak hairanlah peminumnya seorang yang hebat. Itulah maksud asal frasa ini.
4. Setelah frasa ini diterima dengan baik oleh orang Arab dan menjadi kukuh sebagai kata pujian atas perkara-perkara baik, kalimah دَرّ mula difahami dengan maksud kebaikan. Maksudnya frasa لله دَرُّه mula difahami dengan maksud لله ما خَرَجَ مِنْكَ مِنْ خَيْرٍ وَعَطَاء “Milik Allah jua segala kebaikan dan pemberian yang keluar daripada kamu”. Kalimah دَرّ sudah mula diterima dengan maksud “kebaikan”. Bagi sesetengan ulama pula, perkataan دَرّ itu memang membawa maksud kebaikan selain maksud susu.
5. Dari sudut terjemahan sudah pasti penterjemah perlu melihat konteks frasa itu diucapkan dan kepada siapa terjemahan itu dilakukan. Jika kena dengan konteksnya maka tidak ada halangan untuk ia diterjemahkan sebagai “Wah, hebatnya! / Hebatnya awak! Awak memang hebat!” atau sebarang frasa lain yang bersesuaian. Dalam bahasa Inggeris Well done!, Hats off!, Excellent dan sebagainya.
6. Dhomir ه pada frasa لله درُّه mesti disesuaikan dengan pihak yang dipuji. Contohnya لله دَرُّكَ, لله دَرُّكِ, لله دَرُّهَا dan sebagainya. Frasa ini tidak terhenti di sini sahaja, malah ia juga datang dalam susunan yang lain seperti لله دَرُّ أَبِيكَ. Yakni susu yang ayahnya minum adalah susu hebat maka tidak hairanlah si anak pun hebat. Ia juga datang dalam rangkai kata لله دَرُّكَ مِنْ رَجُلٍ dengan huruf jar مِنْ. Huruf jar مِنْ ini dikenali dengan nama مِنْ المُفَسِّرَة للاسم المَكْنِيّ.
Adakalanya ia datang dalam rangkai kata لا دَرَّ دَرُّهُ “Moga tidak mengalir susunya (kebaikannya)”. Ini doa keburukan, iaitu doa agar kebaikannya terhenti. Lawan kepada ungkapan لله دَرُّهُ tadi. Fi’il دَرَّ itu juga asalnya bermaksud “mengalir”. Ayat دَرَّ الدَّمْعُ bermaksud “Air mata mengalir”.