Oktober 4, 2023
Panduan Membaca Buku-buku Tulisan  Ashafizrol
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Bagi sahabat-sahabat yang membaca buku saya, di sini saya suka untuk kongsikan cara dan strategi membacanya agar masa yang digunakan untuk membacanya tidak terbuang begitu sahaja.

Buku yang saya maksudkan ialah :

a. Kata & Frasa Bahasa Arab ; Ilmu Sorof Moden

b. Huraian Matan al-Ajurrumiyyah (rumi)

c. Binaan Ayat Bahasa Arab

d. Bahasa Arab Praktikal 

e. Nota Perbualan Bahasa Arab

f. Huraian Matan al-Ajurrumiyyah (jawi)

1. Mula-mula saya syorkan agar membaca buku “Kata & Frasa”. Buku ini menerangkan perkara-perkara yang mesti diketahui berhubung perkataan bahasa Arab, sama ada dari sudut pembentukan, penggolongan dan juga fungsi. Di sini pembaca dapat mengenal pasti aturan-aturan penting berkaitan pembentukan kata di dalam bahasa Arab serta kesannya terhadap fungsi kata dalam sistem binaan ayat. Paling mustahak dikuasai di dalam buku ini ialah bahagian yang menerangkan kata tugas serta fungsi-fungsinya. Di samping itu, pembaca disarankan agal menghafal kata-kata tugas tersebut sekali dengan contoh-contohnya sekali. 

2. Buku kedua ialah buku “Huraian Matan al-Ajurrumiyyah”. Apa yang saya ingin ketengahkan di dalam buku ini di samping aturan-aturan I’rab ialah bagaimana mengaplikasikan kaedah-kaedah Nahu dalam binaan ayat. Antara perkara yang amat saya titikberatkan adalah soal fungsi sesuatu tajuk yang biasanya dibahaskan di dalam buku-buku Nahu. Semangat yang saya ingin bina menerusi buku ini ialah semangat menggunakan bahasa Arab sepertimana penutur jati menggunakannya. Bukan sekadar menganalisis i’rab. Di dalam buku ini juga saya perbanyakan contoh-contoh yang bersifat praktikal agar pembaca boleh menggunakannya di dalam pertuturan dan juga penulisan. Saya sarankan agak pembaca meneliti dan menghafal contoh-contoh tersebut sebaik yang mungkin.

3. Buku ketiga ialah buku “Binaan Ayat Bahasa Arab”. Buku ini akan membimbing pembaca berhubung pembentukan ayat bahasa Arab. Pelajaran yang diperolehi dari buku “Kata & Frasa” dan juga “Huraian Matan al-Ajurrumiyyah” akan dibawa ke sini dan dijelmakan dalam bentuk ayat. Di dalam buku ini saya cuba memberikan maklumat yang secukupnya supaya pembaca dapat membina ayat bahasa Arab secara lebih berkesan dan menepati kehendak tatabahasa Arab. Contoh-contoh yang disediakan mesti dibaca berkali-kali, dihadam dan cuba untuk mengingatinya dengan baik. Disebabkan penggunaan kata kerja bahasa Arab agak sukar, maka saya dahulukan perbahasan tentang kata kerja bahasa Arab dan mempersembahkannya dengan cara yang agak berlainan dan mengambil perbahasannya dari sudut yang agak berbeza. 

4. Buku “Bahasa Arab Praktikal”. Buku ini tidak diletakkan pada mana-mana urutan. Sebaliknya pembaca boleh membacanya pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Tujuan buku ini adalah membiasakan pembaca dengan cara atau bagaimana sesuatu perkara, situasi atau keadaan itu diungkapkan menggunakan bahasa Arab. Ada perbualan mengikut situasi, mengikut tempat, dan juga mengikut kata-kata tugas yang paling kerap digunakan di dalam bahasa Arab semasa. 

5. Buku “Nota Perbualan Bahasa Arab” ditulis khusus untuk tujuan percakapan. Saya kumpulkan sebanyak mungkin vocab dan ayat yang hampir setiap hari digunakan di sekolah, rumah, bersama rakan taulan dsb dalam bentuk jalan jalan cerita di antara Ahmad, rakan2 dan adik perempuannya.  Saya kemukakan banyak ayat2 mudah yang biasanya penuntut bahasa Arab tidak tahu bagaimana mengungkapkannya.

6. Buku “Huraian Matan al-Ajurrumiyyah Jawi” adalah huraian santai ilmu Nahu. Pendekatan yang saya gunakan dalam buku ini jauh berbeza dari Huraian Matan al-Ajurrumiyyah Rumi. Seolah-olah saya sedang bercakap dengan pembaca.

5. Pembaca yang mengikuti tulisan-tulisan saya akan berasa kekok buat pertama kalinya lebih-lebih lagi bagi yang sudak mempelajari bahasa Arab. Hal ini kerana cara saya menyusun, memilih istilah dan menerangkan sesuatu tajuk agak berbeza dari kebiasaan yang pernah dilalui.

Tapi ini bukan bermakna saya tidak tahu atau terkeluar dari perbahasan tatabahasa Arab, sebaliknya adalah untuk sesuaikannya dengan pola berfikir orang Melayu. Semua buku-buku saya ditulis khusus untuk mereka yang ingin mempelajari bahasa secara bersenderian.

Kongsikan Artikel Ini: