Jun 6, 2023
Pengenalan Ringkas Ilmu Bayan & Apa Bukan Penutur Jati Arab Perlu Buat
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Ilmu al-bayan (Melayu : Retorik Arab) ialah salah satu dari tiga rangkaian ilmu al-balaghah, iaitu suatu ilmu yang membimbing pengguna bahasa Arab untuk mencapai tahap tertinggi dalam penggunaan bahasa Arab. Perkataan بلاغ itu sendiri bermaksud “mencapai”. Mencapai tahap paling tinggi dalam penggunaan bahasa Arab. Tahap tertinggi di sini merujuk kepada ketepatan pertuturan dengan konteks dan kemampuan maksima untuk menggungkap dengan tepat, ringkas dan padat berhubung apa sahaja yang dicerap oleh pancaindera atau dibayangkan fikiran. Tiga rangkaian ilmu al-balaghah yang dimaksudkan ialah ilmu al-bayan (علم البيان), ilmu al-ma’ani (علم المعاني) dan ilmu al-badi’ (علم البديع). 

Berbalik kepada ilmu al-bayan tadi, ia adalah suatu ilmu yang menerangkan kaedah menyalurkan sesuatu idea / fakta dalam bentuk pertuturan / penulisan kepada pihak lain menggunakan sejumlah gaya yang berbeza-beza di antara satu sama lain. 

Misalnya apabila kita ingin berkata bahawa Khalid berani kita boleh terus berkata خالد شُجاع (Khalid seorang yang berani). Kalau kita tidak mahu cara terus terang seperti ini, kita boleh guna cara lain. Cara lain ialah خالد كالأسد (Khalid laksana singa). Kedua-duanya pada asasnya membawa maksud berani. Bezanya ialah cara sifat itu diungkapkan di mana yang pertama menggunakan perkataan “berani” dan yang kedua menyamakan Khalid dengan sesuatu yang terkenal dengan sifat berani, iaitu singa. Cara kedua ini dipanggil al-tasybih (التشبيه). Jadi unsur pertama yang akan dibincangkan oleh ilmu al-bayan ialah unsur tasybih. Maknanya antara cara yang boleh digunakan untuk mengungkapkan sesuatu idea atau fakta ialah tasybih.

Di tempat yang lain pula apabila perkataan الأسد sudah diterima sebagai simbol keberanian, maka kita boleh terus menggunakannya untuk merujuk kepada seorang yang berani. Contohnya bila kita ingin berkata “Bila Khalid bercakap kamu mesti diam dan jangan mencelah”. Sebelum ini Khalid sudah terkenal dengan sikap beraninya bagaikan singa. Jadi untuk ringkaskan ayat, kita boleh berkata :

عِندما تَكَلَّم الأسد فاسْكتْ ولا تقاطعْهُ

“Bila sang singa berbicara maka diam sahaja, jangan sesekali mencelah”.

Cara ini adalah cara peminjaman kata. Kita pinjam perkataan الأسد yang menjadi simbol keberanian dan gunakannya pada Khalid tanpa menyebut langsung perkataan Khalid dalam ayat. Cara ini dipanggil al-Isti’arah (peminjaman kata). Jadi cara kedua ini adalah cara kedua pengungkapan yang dibahaskan oleh ilmu al-bayan. Perbahasan al-isti’arah sangat berkait rapat dengan tasybih sebelum ini kerana pada hakikatnya ia adalah musyabbah bihi yang digugurkan musyabbah dan adat al-tasybih sehingga ada ulama Balaghah yang melihat perbahasan ini tidak diperlukan ekoran di sana ada perbahasan majaz. Dalam perbahasan majaz (المجاز) kita akan pelajari segala yang berkaitan dengan majaz dan di sini juga kita akan perkatakan sekali lagi tentang isti’arah apabila kita sampai pada bab majaz lughawi (المجاز اللغوي) di mana jika hubungan lafaz yang dipertuturkan dan maksud adalah hubungan persamaan ( علاقة المشابهة).

Seterusnya ada lagi cara lain untuk sabitkan sifat keberanian dengan seseorang selain cara tasybih dan isti’arah. 

Cara yang dimaksudkan ialah al-kinayah (الكناية). Misalnya kita gelar Khalid sebagai ابن الحرب (anak perang). Ungkapan ini sifat keberanian yang terdapat pada Khalid.

KESIMPULAN : Kesimpulannya ialah ilmu bayan akan membimbing kita untuk menjadi seorang yang benar-benar mencapai tahap tertinggi penggunaan bahasa Arab menerusi empat bab, iaitu tasybih, isti’arah, majaz dan kinayah. Keempat-empat bab ini  adalah cara yang biasa digunakan oleh orang Arab untuk mengungkap sesuatu perkara. Cara terus terang, cara kiasan, cara pinjaman kata, cara tidak langsung / cara berselindung / tidak berterus terang. Letaklah apa nama sekalipun tapi yang penting inilah maksudnya. Setiap bab mempunyai perinciannya tersendiri, penggolongan dan contoh selain perbahasan khilaf dan pandangan. Semua inilah yang menjadikannya dilihat tebal dan sukar dihadam.

Lebih mudah lagi ilmu bayan ialah ilmu yang membincangkan beberapa cara ungkapan untuk sampaikan sesuatu maksud yang pada asasnya adalah sama. Beza di antara satu cara dan satu cara yang lain ialah kejelasan maksud. Ada cara pengungkapan maksudnya jelas dan ada pengungkapan maksudnya kurang jelas. Semuanya mempunyai peranannya yang tersendiri.

Jadi dengan mempelajari ilmu ini ia sedikit sebanyak membantu dalam hal ini, khususnya apabila kita menggunakan bahasa Arab. Tapi perlu diingat bahawa tahap tertinggi penggunaan bahasa dari sudut ini sebenarnya akan dapat dicapai menerusi pembacaan yang banyak terhadap teks-teks penulis besar terdahulu seperti al-Jahiz, Ibn al-Muqaffa’ dan terawal sekali adalah al-Quran dan Syair agar bahasa dan gaya bahasa bacaan-bacaan tersebut menyerap ke dalam diri dan menjadi darah daging. Ilmu-ilmu yang terkandung dalam balaghah ini pembuka jalan sahaja atau menyusul maklumat menerusi istilah khusus. 

Apa kita perlu lakukan sebagai bukan penutur jati? Apa bahan bacaan kita? 

Bahan bacaan yang akan membantu kita sebenar-benarnya pada peringkat awal ialah buku-buku cerita kanak-kanak, kemudian apa sahaja buku yang ditulis oleh orang Arab. Apa sahaja buku. Kita tidak perlu jadi al-Jahiz lagi. Kita jadi budak tingkatan 1 orang Arab pun sudah cukup baik dah, kemudian jadi budak tingkatan 6, seterusnya budak Universiti dan seterusnya macam bahasa pengacara TV/wartawan atau kebanyakan bahasa orang Arab. Semua itu sudah cukup bagus. Kemudian baru kita bergerak ke apa yang kita panggil “tahap tertinggi penggunaan bahasa Arab ini”.

Kongsikan Artikel Ini: