Jun 5, 2022
Pengertian al-i’rab
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Ramai orang sebut tentang i’rab, ramai orang belajar tentang i’rab, malah ada orang mengambil pendekatan belajar bahasa Arab melalui i’rab. 

Apa itu i’rab ? Biar saya ringkaskan seperti berikut :

Apabila kita menelusuri penggunaan perkataan i’rab sebagai suatu istilah di dalam tulisan-tulisan yang mengkaji tentang bahasa Arab amnya dan ilmu Nahu khususnya, kita dapati istilah i‘rab (Arab: الإعْرَاب) ini digunakan untuk tiga maksud. 

PERTAMA : Nama kepada ilmu yang kita kenali dengan nama Ilmu Nahu. Perkara ini disebut oleh al-Zajjaj (Arab: الزَّجَّاج) yang wafat pada tahun 337 hijrah di dalam kitabnya al-Idhah fi ‘ilal al-Nahw (Arab : الإيضَاح فِي عِلَل النَّحْو). Kata beliau وَيُسَمَّى النَّحْوُ إِعْرَابًا “ilmu Nahu itu dinamakan I’rab”. Maka oleh sebab itu kita dapati terdapat buku-buku Nahu terdahulu menggunakan perkataan i’rab sebagai judulnya. Contohnya Mulhat al-i’rab (Arab : مُلْحَة الإعْرَاب) oleh al-Hariri (Arab : الحَرِيريّ) w: 576.  

KEDUA : Maksud kedua i’rab ialah proses menganalisis kalimah yang terdapat dalam ayat mengikut aturan dan istilah yang dibahaskan oleh ulama-ulama Nahu. Misalnya kita kata أَعْرِبْ جَاءَ زَيْدٌ, yakni i’rab ayat جَاءَ زَيْدٌ. Proses menganalisis ini adalah mempraktikkan segalai aturan ilmu Nahu dengan istilah-istilahnya sekali ke atas setiap unit yang terdapat dalam ayat. 

Contohnya kita kata ini fa’il, hukumnya marfu’, alamat rafa’nya dhammah, sebabnya sekian dan sekian. I’rab dengan maksud seperti ini sudah mula dikenali sejak dari penghujung kurun pertama hijrah lagi. Misalnya kita lihat al-Farra’ (Arab : الفَرَّاء) w:207 di dalam Ma’ani al-Quran (Arab : مَعَانِي القُرْآن) memulakan tulisannya dengan berkata, تَفْسِير مُشْكِل إعْرَاب القُرْآنِ وَمَعَانِيهِ “mentafsirkan kemusykilan i’rab al-Quran dan makna-maknanya”. I’rab al-Quran di situ adalah menganalisis kedudukan setiap unit bahasa dalam sesebuah ayat. Kita dengan sendirinya akan tahu perkara ini apabila kita membaca tafsir al-Farra’ tersebut.

Selepas zaman al-Farra’, istilah ini mula digunakan secara meluas oleh ulama-ulama yang menghuraikan al-Quran dari sudut analisis kedudukan unit bahasa dalam ayat. Antara yang terawalnya ialah al-Nahhas (Arab: النَّحَّاس) w: 238 menerusi kitabnya yang berjudul I’rab al-Quran (Arab : إعْرَاب القُرْآن), Ibn Khalawaih (Arab: ابْن خَالَوَيْه) w: 370 menerusi kitab I’rab Thalathin Surah min al-Quran al-Karim (Arab: إعْرَاب ثَلَاثِينَ سُورَةً مِنَ القُرآنِ الكَرِيم) dan Makki bin Abi Thalib al-Qaisiyy (Arab : مَكِّيّ بن أَبِي طَالِب القَيْسِي) w: 437 menerusi kitab Musykil I’rab al-Quran (Arab : مُشْكِل إعْرَاب القُرآن). Kata al-Damaminiyy (Arab : الدَّمَامِينِيّ) di dalam Tuhfat al-Gharib bi Syarh Mughni al-Labib (Arab : تُحْفَة الغَرِيب بِشَرْح مُغْنِي اللَّبِيب) : 

(الإعراب) إِجْرَاءُ الأَلْفَاظِ المُرَكَّبَةِ عَلَى مَا تَقْتَضِيهِ صَنَاعَةُ العَرَبِيَّةِ ، كَمَا يُقَالُ : أَعْرَبَ القَصِيدَةَ ، إِذَا تَتَبَّعَ أَلْفَاظَهَا ، وَبَيَّنَ كَيْفِيَةَ جَرْيِهَا عَلَى عِلْمِ النَّحْوِ.

“I’rab ialah mencerakinkan lafaz-lafaz yang terdapat dalam struktur ayat berdasarkan aturan ilmu bahasa Arab, seperti apabila dikatakan; “Dia mengi’rab qasidah itu”, maka maksudnya dia mengikuti lafaz-lafaz qasidah tersebut dan menerangkan cara ia berfungsi mengikut ketetapan ilmu Nahu”. 

Dengan apa yang diterangkan oleh al-Damaminiyy ini, kita dapat simpulkan bahawa i’rab dari sudut ini ialah proses menganalisis unit-unit bahasa yang terdapat dalam sesebuah ayat. Analisis ini hanya terhad pada sudut ilmu Nahu. Walaupun pada awalnya ada ulama yang membuat analisis berdasarkan kerangka yang lebih luas. Seperti Ibn Khalawaih ketika beliau mengi’rab lafaz al-isti’azah (Arab : لَفْظ الاستِعَاذَة). Analisis beliau dibuat berasaskan ilmu Nahu dan Sorof. Lihat contoh berikut : 

أَعُوذُ : فِعْلٌ مُضَارِعٌ ، عَلَامَةُ مُضَارَعَتِهِ الهَمْزَةُ ، وَعَلَامَةُ رَفْعِهِ ضَمُّ آخِرِهِ ، وَهُوَ فِعْلٌ مُعْتَلٌّ ، لِأَنَّ عَيْنَ الفِعْلِ وَاوٌ ، وَالأَصْلُ (أَعْوُذُ) عَلَى مِثَالِ (أَفْعُلُ) فَاسْتَثْقَلُوا الضَّمَّةَ عَلَى الوَاوِ ، فَنُقِلَتْ إِلَى العَيْنِ ، فَصَارَتْ أَعُوذُ . . . 

Kita dapat lihat di situ analisis yang dibuat oleh Ibn Khalawaih tidak terhad hanya pada aspek ilmu Nahu, malah mencakupi aspek yang dibahaskan dalam ilmu sorof. Namun kebanyakan ulama Nahu tidak berbuat begitu terutamanya yang terkemudian. Mereka mengehadkan analisis tersebut kepada aspek yang menjadi pokok perbincangan ilmu Nahu sahaja. 

KETIGA : Istilah i’rab dengan maksud ketiga ini merupakan istilah yang sering dibahaskan oleh ulama-ulama Nahu. I’rab di sini mempunyai hubung kait dengan golongan kalimah yang digelar sebagai mu’rab (Arab: مُعْرَب) serta ia juga adalah lawan kepada istilah al-bina’ (Arab: البِنَاء). Jika pembaca ingat, sebelum ini pengarang mentakrifkan mu’rab sebagai kalimah yang huruf terakhirnya berubah-ubah disebabkan kemasukan amil yang berbeza-beza ke atasnya. Dalam bahasa Arabnya disebut مَا يَتَغَيَّرُ آخِرُهُ بِسَبَبِ العَوَامِلِ الدَّاخِلَةِ عَلَيْهِ. 

Jika inilah takrif mu’rab (Arab : المُعْرَب), maka sayugianya takrif i’rab (Arab: الإعْرَاب) ialah تَغْيِير أَوَاخِرِ الكَلِمِ لِاخْتِلَافِ العَوَامِلِ الدَّاخِلَةِ عَلَيْهَا “Perubahan akhir kalimah disebabkan berbeza-bezanya amil yang memasukinya” seperti yang dikemukakan oleh al-Azhari (Arab: الأَزْهَرِي) dalam Syarah al-Tasrih (Arab : شَرْح التَّصْرِيح), al-Sabban (Arab: الصَّبَّان) dalam Hasyiah al-Sabban ‘ala Syarh al-Asymuni (Arab : حَاشِيَة الصَّبَّان عَلَى شَرْح الأَشْمُونِي) dan lain-lain termasuklah al-Shanhaji (Arab : الصَّنْهَاجِي) dalam al-Ajurrumiyyah (Arab : الآجُرُّومِيَّة). Tapi pengarang tidak berbuat begitu ketika menghuraikan matan Qatrunnada ini. Pengarang mengemukakan takrif lain, iaitu : 

الإعْرَابُ أَثَرٌ ظَاهِرٌ أَوْ مُقَدَّرٌ يَجْلِبُهُ العَامِلُ فِي آخِرِ الكَلِمَة 

“I’rab ialah kesan yang nyata atau diandaikan kewujudannya, yang dihasilkan oleh amil pada huruf terakhir kalimah”. 

Beza di antara takrif ini dan takrif sebelum ini ialah takrif ini memberikan tumpuan kepada ‘kesan yang ditinggalkan oleh amil’. Manakala takrif sebelum ini memberi tumpuan kepada ‘aktiviti perubahan dari satu perubahan kepada satu perubahan yang lain disebabkan oleh kehadiran amil”. 

Maksud أَثَر ظَاهِر ialah kesan yang dapat didengari. Contohnya جَاءَ زَيْدٌ, رَأَيْتُ زَيْدًا dan مَرَرْتُ بِزَيْدٍ. Apabila ia menyebut زَيْدٌ, زَيْدًا dan زَيْدٍ kita dapat mendengar dengan jelas bunyi dhammah, fathah dan kasrah pada huruf dal (د). Berbeza apabila dia menyebut جَاءَ الفَتَى, رَأَيْتُ الفَتَى dan مَرَرْتُ بِالفَتَى. Walaupun amilnya sama, iaitu جَاء, رَأَيْتُ dan البَاء الجَارَّة tapi kesannya tidak didengari. Kita tidak dengar bunyi dhammah, fathah dan kasrah pada huruf terakhir kalimah الفَتَى. Oleh itu kita mengandaikan kewujudan baris dhammah, fathah dan kasrah pada huruf terakhirnya. Kesan yang diandaikan kewujudannya inilah dinamakan أَثَر مُقَدَّر. 

Kesimpulannya ialah أَثَر ظَاهِر adalah kesan nyata, manakala أَثَر مُقَدَّر pula adalah kesan yang tidak nyata dan diandaikan kewujudannya. Kemudian disebut dalam takrif bahawa kesan ini haruslah berpunca daripada amil. Disebut dalam takrif يَجْلِبُهُ العَامِل “dihasilkan oleh amil”. Keratan ini didatangkan adalah untuk memberitahu kita bahawa di sana terdapat kesan seperti dhammah, fathah dan kasrah pada huruf terakhir kalimah, namun ia bukan disebabkan oleh amil i’rab. 

Contohnya baris dhammah yang terdapat pada huruf nun (ن) dalam ayat فَمَنُ اوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ berdasarkan qiraat Warsh (Arab : قِراءَة وَرْش). Baris dhammah tersebut dipindahkan daripada huruf hamzah selepasnya dan kemudian hamzah itu digugurkan. Begitu juga dengan baris fathah yang terdapat pada قَدَ افْلَحَ المُؤْمِنُون berdasarkan qiraat Warsh juga. Baris fathah itu dipindahkan daripada huruf hamzah yang terdapat selepasnya dan kemudian huruf hamzah itu digugurkan. Begitu juga dengan baris kasrah yang terdapat pada huruf dal (د) dalam ayat الحَمْدِ لِلَّهِ mengikut qiraat yang membacanya kasrah. Baris kasrah ini dinamakan baris ikutan (Arab : حَرَكة الاتِّبَاع). Jadi semua baris atau kita namakannya sebagai ‘kesan’ (Arab : أَثَر) dalam ketiga-tiga contoh di atas walaupun dapat dilihat atau didengari dengan nyata, tapi ia bukan disebabkan oleh amil i’rab.

Kongsikan Artikel Ini: