1. Apabila kita ingin merujuk kepada jamak tidak berakal (جمع لغير عاقل) maka secara teorinya kita boleh guna هَا dan هُنَّ. Seperti : الجِبال رأيْتُها / الجِبال رأيْتُهُنَّ
Aturan ini juga terpakai ke atas dhomir munfasil marfu’ هِيَ dan هُنَّ.
هُنَّ جِبَالٌ / هِيَ جِبالٌ
2. Namun adalah lebih baik (الأَوْلَى) dhomir هَا digunakan untuk merujuk kepada jamak tidak berakal yang banyak (الكَثِير) dan هُنّ digunakan untuk jamak tidak berakal yang sedikit (القليل).
Contohnya jika bukit atau gunung-ganang yang dirujuk itu ada empat, maka kita kata الجبال رأيتُهُنَّ dan kita akan kata الجبال رأيًتُهَا jika ianya banyak. Banyak dan sedikit ini adalah subjektif tertakluk kepada tafsiran. Misalnya 30 hari sedikit jika dibandingkan dengan 360 hari.
3. Jika jamak yang kita guna adalah wazan jamak qillah, iaitu jamak yang merujuk kepada bilangan 3 hingga 10, maka ketika itu adalah sangat baik untuk kita guna هُنَّ untuk merujuk kepadanya. Contohnya :
الأَجْذَاعُ كسَرْتُهُنَّ
Jika jamak kathrah, iaitu bilangan 11 dan ke atas jika jamak berkenaan mempunyai wazan jamak qillah dan 3 dan ke atas jika tidak mempunyai wazan jamak qillah, maka kita akan guna هَا. Contohnya :
الجُذُوع كَسَرْتُهَا
[ Jamak kathrah dan jamak qillah perlu dirujuk dalam bab jamak taksir. Bukan semua jamak taksir mempunyai wazan jamak qillah. Dan maksud ‘sangat baik’ adalah penggunaan sebaliknya tidak salah. ]
4. Aturan ini turut terpakai ke atas fi’il. Contohnya : الجُذُوع انْكَسَرَتْ jamak kathrah. الأجْذَاعُ انْكَسَرْنَ jamak qillah.
5. Namun begitu secara amalinya dalam penulisan prosa Arab kita dapati ها, هي dan فعلتْ, تَفْعَلُ digunakan untuk jamak tidak berakal dan هُنّ, فَعَلْنَ dan يفعَلْنَ untuk jamak berakal.
6. Kesimpulannya ialah dhomir ها dan هن boleh bergantian (per. 1).Tapi lebih baik kita meraikan aspek الكثرة dan القلة di mana ها untuk الكثرة dan هن untuk القلة (per. 2 & 3). Meskipun begitu ketetapannya, namun secara amalinya adalah seperti yang dinyatakan dalam perkata 5 di atas.
7. Perkara ini banyak dijelaskan dalam kitab-kitab Nahu. Antara yang ada depan mata saya sekarang ialah kitab شواهد التوضيح والتصحيح oleh Ibn Malik.