Februari 19, 2023
Perbezaan di antara إنْ قَامَ قُمْتُ dan إِنْ يَقُمْ أَقُمْ
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Soalan : Adakah terdapat perbezaan di antara إن قام قمت (Menggunakan Fi’il Madhi) dan إن يقم أقم (Menggunakan Fi’il Mudhari’)?

Jawapan : Ya. Terdapat perbezaan di antara menggunakan fi’il madhi dan menggunakan fi’il mudhari’. Perkara ini awal-awal lagi disentuh oleh ‘Abdul Qahir al-Jurjani di dalam Dalail al-I’jaz ketika membahaskan tentang al-Nazm (النظم). Kata beliau:

فينظر في الشرط والجزاء إلى الوجوه التي تراها في قولك : إن تخرج أخرج، وإن خرجت خرجت، وإن تخرج فأنا خارج، وأنا خارج إن خرجت، وأنا إن خرجت خارج .

“Ditelitinya Jumlah Syartiyyah dari sudut (mengapa begini dan mengapa begitu) pada ayat-ayat seperti إن تخرج أخرج, إن خرجت خرجت, إن تخرج فأنا خارج, أنا خارج إن خرجت dan أنا إن خرجتَ خَارج”. (al-Jurjani, Dalail al-I’jaz : 81)

Di sini Abdul Qahir al-Jurjani meminta pembaca bukunya meneliti perubahan-perubahan seperti ini. Namun beliau tidak pula jelaskan apakah perbezaan di antara إن تخرج أخرج dan إن خرجت خرجت itu di dalam bukunya, Dalail al-I’jaz.

Untuk mengetahui perbezaan di antara penggunaan fi’il madhi dan mudhari’ dalam jumlah syartiyyah yang menggunakan إنْ الشرطية, kita perlu tahu terlebih dahulu apakah asalnya. Asalnya ialah kita perlu menggunakan fi’il mudhari’ dalam jumlah syartiyyah yang menggunakan إن الشرطية kerana jumlah syartiyyah yang menggunakan إن الشرطية merujuk kepada masa hadapan. Fi’il yang merujuk kepada masa hadapan ialah fi’il mudhari’. Jadi ayat asalnya ialah إنْ يَقُمْ اَقُمْ. Jika ayat seperti ini dikemukakan, maka kita tidak akan bertanya kenapa begitu, kerana itu adalah pola asalnya.

Tapi bila dikemukan ayat إن قام قمت menggunakan fi’il madhi, maka di sini kita boleh bertanya mengapa digunakan fi’il madhi sedangkan konteks menunjukkan masa hadapan? Mungkin ada yang menjawab, “Fi’il madhi apabila berada selepas إن الشرطية atau إذا menunjukkan masa hadapan”. Ya, kita tahu. Tapi mengapa fi’il madhi dipilih sedangkan tidak ada halangan untuk kita menggunakan fi’il mudhari’?

JAWAPAN: Jika konteks menunjukkan masa hadapan tapi yang digunakan adalah fi’il madhi, dalam keadaan tidak ada halangan untuk menggunakan fi’il mudhari’, maka ia mesti atas tujuan tertentu antaranya menguatkan ayat. Berhubung jumlah syartiyyah yang menggunakan إن الشرطية ini tujuannya hanya satu, iaitu menyalurkan unsur penegasan dalam ayat. Dengan fi’il madhi perbuatan itu dikemukakan kepada pendengar seolah-olah ia telah berlaku. Berbeza dengan fi’il mudhari’ di mana dengannya ia boleh berlaku atau sebaliknya.

Untuk memahami perkara ini kita perlu tahu kaedah asas dalam ilmu Nahu, iaitu :

الماضي يدل على التحقيق والمضارع يدل على التجدد

“Fi’il madhi menunjukkan kepastian dan fi’il mudhari’ menunjukkan kebolehubahan”.

Mari kita lihat apa kata Ibn Jinni di dalam bukunya, al-Khasais. Kata beliau :

وكذلك قولهم : إِنْ قُمْتَ قُمْتُ فيجيء بلفظ الماضي والمعنى معنى المضارع. وذلك أنه أراد الاحتياطَ للمعنى فجاء بمعنى المضارع المشكوك في وقوعه بلفظ الماضي المقطوع بكونه حتى كأنّ هذا قد وقع واستقرّ، لا أنه متوقَّع مترقَّب.

“Begitu juga seperti ayat, إِنْ قُمْتَ قُمْتُ “Jika kamu berdiri aku pun berdiri”. Ayat ini menggunakan fi’il madhi قُمْت sedangkan perujukan masanya adalah perujukan masa fi’il mudhari’. Tujuannya adalah memberi fokus pada aspek makna. Apa yang dilakukan adalah mendatangkan perujukan fi’il mudhari’ yang diragui sama ada akan berlaku atau sebaliknya (Nota : Fi’il madhi yang berada selepas إن الشرطية mendukung fungsi fi’il mudhari’) dengan menggunakan lafaz fi’il madhi yang menunjukkan kepastian seolah-olah ia telah pun berlaku dan sempurna, bukan lagi agakan atau penantian”. (Ibn Jinni, al-Khasais : 3/105)

KESIMPULAN :

Penggunaan fi’il madhi dalam jumlah syartiyyah yang menggunakan إن الشرطية (dan sebagainya) berbeza dengan penggunaan fi’il mudhari’. Beza pertama ialah penggunaan fi’il madhi bukan pilihan asal untuk uslub syarat (أسلوب الشرط) sebaliknya ia adalah pilihan kedua yang bermotifkan penegasan.

Bila kita nak tegaskan jumlah syartiyyah, kita guna fi’il madhi. Tapi masih ada perincian, iaitu kita gunakan fi’il madhi pada kedua-dua tempat fi’il syarat dan jaza’ atau salah-satunya sahaja.

Kongsikan Artikel Ini: