Februari 19, 2023
Perbezaan di antara ayat ضَربْتُ زيدًا dan زيدٌ ضربتُهُ
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Ayat ضربتُ زيدًا bermaksud “Aku pukul Zaid” sementara ayat زيْدٌ ضربْتُهُ pula bermaksud “Zaid ialah orang yang aku pukul.”

2. Menerusi ayat pertama, iaitu ضربتُ زيدًا penutur ingin memberitahu tentangnya dan kepada siapa tindakannya dilakukan. Manakala menerusi ayat kedua pula, iaitu زيدٌ ضربتُهُ penutur ingin memberitahu tentang Zaid dan apa yang terjadi kepadanya. الإيضاح في عِلَل النححو للزَّجَّاجِي ]

3. Perbezaannya akan kelihatan jelas apabila kita letak kedua-dua ayat di atas di dalam konteks. Ayat pertama (Aku pukul Zaid) misalnya boleh menjadi jawapan kepada soalan, “Apakah yang kamu telah buat?”.

Ayat kedua pula, iaitu (Zaid ialah orang yang aku pukul) boleh menjadi jawapan kepada soalan “Siapakah yang kamu pukul.”

Tapi ini bukan bermaksud soalan sahaja yang boleh menentukan kesesuaian kedua-dua ayat di atas. Sebaliknya tanpa soalan sekali pun kedua-duanya tetap mempunyai maksud yang tersendiri dan diungkapkan selari dengan maksud dan tujuannya.

4. Berasaskan apa yang dinyatakan oleh al-Zajjaji atau mana-mana sarjana lain berhubung perbezaan di antara dua ayat di atas, maka kita bolehlah ambilnya sebagai pedoman ketika membaca bab-bab seperti باب الاشتغال, تقديم المفعول على فاعله, bab التقديم dalam bab القصر dalam ilmu ma’ani dll. Inilah yang seharusnya dibuat oleh para penuntut ilmu, iaitu sentiasa menjalingabungkan maklumat di antara satu sama lain agar semuanya hidup di dalam diri sebagai sebuah kesatuan yang kukuh dan padu. Dari sinilah juga akan lahirnya apa yang dipanggil sebagai kesebatian ilmu dalam diri.

Kongsikan Artikel Ini: