Isim tafdhil digunakan untuk membuat dua jenis perbandingan, iaitu perbandingan lebih dan perbandingan tahap penghabisan. Perbandingan lebih seperti ‘Ahmad lebih baik dari Umar’. Manakala perbandingan tahap penghabisan pula seperti ‘Umar ialah yang paling baik’.
1. Untuk pertama, iaitu perbandingan lebih kita akan gunakan isim tafdhil أفضل dan disusuli partikel من. Ketika ini isim tafdhil tidak perlu diletakkan أل dan juga bentuknya sentiasa mufrad muzakkar. Contohnya :
عمر أفضل من عمر / فاطمة أفضل من زينب / عمر وأحمد أفضل منهما / فاطمة وزينب أفضل من زميلاتهما الأخريات
2. Untuk kedua pula, iaitu perbandingan tahap penghabisan, kita ada tiga pilihan, iaitu :
(a) Letak alif lam pada isim tafdhil dan bandingannya tidak dinyatakan. Contohnya أحمد هو الأفضل.
(b) Gugurkan alif lam dari isim tafdhil dan bandingannya dinyatakan dalam bentuk makrifah mudhaf ilaih. Contohnya أحمد أفضل الرجال.
(c) Gugurkan alif lam dari isim tafdil dan bandingannya dinyatakan dalam bentuk isim nakirah mudhaf ilaih. Contohnya أحمد أفضل طالب.
: : : Huraian : : :
(a) Isim tafdhil mempunyai alif lam. Ketika ini isim tafdhil mesti disamakan dengan kalimah sebelumnya dari sudut jumlah dan jantina. Misalnya :
أحمد هو الأفضل / فاطمة هي الفضلى / أحمد وأخوه هما الأفضلان / فاطمة وأختها هما الفضليان / إخوة أحمد هم الأفاضل / أخوات فاطمة هن الفضليات
(b) Isim tafdhil tidak mempunyai alif lam tapi menjadi mudhaf kepada sesuatu isim makrifah. Contohnya أحمد أفضل الرجال. Ketika ini kita ada dua pilihan.
Pertama : Kekalkan isim tafdhil dalam bentuk mufrad muzakkar tanpa pedulikan status mudhaf ilaihnya. Kedua : Serasikan.
Lihat contoh-contoh berikut :
فاطمة أفضل النساء / فاطمة فُضْلَى النساء
فاطمة وأختها أفضل طالبات الجامعة / فاطمة وأختها فضليا طالبات الجامعة
أخوات فاطمة أفضل النساء / أخوات فاطمة فضليات النساء
أحمد وأخوه أفضل الطلاب / أحمد وأخوه أفضلا الطلاب
أحمد واخوانه أفضل معلمي اللغة العربية / أحمد واخوانه أفاضل معلمي اللغة العربية
(c) Isim tafdhil tidak mempunyai alif lam dan mudhaf ilaihnya adalah isim nakirah. Contohnya :
أحمد أفضل رجل / فاطمة أفضل امرأة
Ketika ini isim tafdhil mesti dikekalkan dalam bentuk mufrad muzakkar.
Keterangan lanjut sila lihat buku “Kata & Frasa Bahasa Arab : Ilmu sorof Moden”. Hubungi kami melalui WhatsApp di link ini: https://aljahiz.my/whatsapp