Mac 1, 2024
Seputar tentang Nama Allah swt جَوَاد
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Perkataan جَوَاد ialah salah satu dari nama-nama Allah Yang Maha Mulia. Sebutannya ialah جَوَاد tanpa syaddah pada huruf waw. Bukan جَوَّاد dengan waw bersyaddah. Hal ini disebabkan oleh dua faktor. Pertama faktor pengriwayatan dan kedua faktor bahasa Arab.

Dari sudut pengriwayatan, terdapat beberapa hadis yang mengandungi perkataan ini di mana dari situlah ia diambil sebagai salah satu dari nama-nama Allah yang Mulia. Antaranya hadis:

إن الله تعالى جواد يحب الجود ويحب معالي الأخلاق ويكره سفسافها

Berhubung cara membacanya, sama ada جَوَاد atau جَوَّاد maka jawapannya ialah جَوَاد tanpa syaddah pada huruf waw. Terdapat sebuah hadis di dalam sunan al-Tirmizi yang berbunyi:

إن الله تعالى طيب يحب الطيب، نظيف يحب النظافة، كريم يحب الكرم، جواد يحب الجود

Hadis ini diriwayatkan dalam bentuk waw tidak bersyaddah. Kata al-Munawiyy di dalam Faidh al-Qadir 2/239, iaitu kitab yang menghurai kitab al-Jami’ al-Saghir Imam al-Sayuthi berhubung perkataan جواد yang terdapat di dalam hadis tersebut قوله : “جواد” بالتخفيف . Perkataan جواد dibaca dengan takhfif (تخفيف). Maksud التخفيف ialah tidak mensyaddahkan, yakni lawan kepada التشديد.

Kata al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi syarh Jami’ al-Tirmizi 8/83 ketika menghuraikan hadis yang sama:

[كريم يحب الكرم، جواد] بفتح جيم وتخفيف واو

“Perkataan جواد dibaca dengan huruf jim berbaris fathah dan waw tidak bersyaddah”.

Di dalam sunan al-Tirmizi edisi al-Makniz, 2/707 perkataan جواد dibariskan tanpa syaddah. Begitu juga dengan edisi sunan al-Tirmizi yang ditahqiq oleh Dr. Basyar Awad Ma’ruf 4/495 turut ditulis dengan جَوَاد tanpa syaddah.

Maka dengan ini jelaslah bahawa dari sudut pengriwayatan perkataan جَوَاد yang merupakan salah satu dari nama-nama Allah swt dibaca dengan waw tidak bersyaddah. Dibaca جَوَاد tanpa syaddah, bukan جَوَّاد.

Dari sudut bahasa pula, maka disebabkan perkataan جَوَاد ini diriwayatkan dalam bentuk sifah musyabbahah maka ia dikekalkan begitu tanpa perlu sebarang olahan bahasa kerana menentukan nama Allah swt adalah bersifat tauqifiyy. Kita tidak perlu menukarkannya kepada sighah mubalaghah seperti جَوَّاد dengan syaddahkan waw dsb. Tidak perlu. Contoh lain seperti سِتِّير yang terdapat dalam hadis إن الله حَيِيّ سِتِّير يحب الحياء والستر , maka nama Allah swt adalah سِتِّير bukan سَاتِر.

Perkataan جَوَاد adalah sifah musyabbahah yang jamaknya ialah جُود, أَجْوَاد, أَجَاوِد, جُوَدَاء seperti قَذَال yang jamaknya قُذُل. Kata al-Jauhari:

وجادَ الرجُلُ بمالِه يجود جوداً بالضم، فهو جَوادٌ. وقَوْمٌ جودٌ، مثل قَذالٍ وقُذُلٍ وأَجْواد وأَجاوِدَ وجُوَداء. وكذلك امرأة جَوادٌ ونِسْوَةٌ جودٌ.

PERHATIAN:

Perkataan جَوَاد juga digunakan sebagai sifat untuk kuda perang. Maka dengan sebab itu ada orang yang keliru dan akhirnya meletakkan syaddah pada huruf waw dan membacanya جَوَّاد sebagai sighah mubalaghah. Fahaman ini tidak betul dan perlu diperbetulkan.

Kongsikan Artikel Ini: