Februari 19, 2023
Status مَهْمَا sama ada isim atau huruf
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

1. Bagi yang pernah mempelajari ilmu Nahu sekurang-kurangnya pada tahap Qatrunnada, mereka pasti tahu berkenaan isu ini. Perbahasannya agak teknikal, tapi saya sengaja kongsikan agar rakan-rakan terbiasa dengan perbahasan ilmu Nahu.

2. Kalimah مَهْمَا adalah isim, bukan huruf seperti yang didakwa oleh al-Suhaili (Arab: السُّهَيْلِيّ) dan Ibn Yas’un (Arab: ابْن يَسْعُون).

Firman Allah swt:

مَهْمَا تَأْتِنَا بِهِ مِنْ آيَةٍ [al-A’raf : 132].

Dhamir ha’ yang terdapat pada بِهِ itu merujuk kepada مَهْمَا. Kita sedia maklum bahawa dhamir hanya akan merujuk kepada isim, bukan kepada huruf ataupun fi`il. Maka oleh itu kita katakan bahawa مَهْمَا adalah isim. I’rab ayat tersebut ialah :

(مَهْما) اسْمُ شَرْطٍ جَازِمٌ مَبْنِيٌّ عَلَى السُّكُونِ فِي مَحَلِّ رَفْعٍ مُبْتَدَأ وَالجُمْلَةُ مَقُولُ القَوْلِ “وَقَالُوا”. (تَأْتِنا) مُضَارِعٌ مَجْزُومٌ بِحَذْفِ حَرْفِ العِلَّةِ، وَ(نَا) مَفْعُولُهُ وَفَاعِلُهُ أَنْتَ وَهُوَ فِي مَحَلِّ جَزْمٍ فِعْلُ الشَّرْطِ، (بِهِ) مُتَعَلِّقَانِ بِتَأْتِنَا. (مِنْ آيَةٍ) مُتَعَلِّقَانِ بِمَحْذُوفٍ حَالٌ.

3. Alasan al-Suhaili (Arab: السُّهَيْلِيّ) dan Ibn Yas’un (Arab: ابْن يَسْعُون) ialah bait syair Zuhair bin Abi Sulma (Arab: زُهَيْر بن أَبِي سُلْمَى) yang berbunyi :

مَهْمَا تَكُنْ عِنْدَ امْرِئٍ مِنْ خَلِيقَةٍ وَإِنْ خَالَهَا تَخْفَى عَلىَ النَّاسِ تُعْلَمِ

“Apa sekalipun perangai seseorang, meskipun dia merasakan orang tidak tahu, kelak pasti diketahui juga”.

4. Kata mereka, kalimah خَلِيقة itu adalah isim تَكُنْ dan مِنْ adalah مِنْ الزَّائِدَة. Jadi apabila تَكُنْ sudah mempunyai isimnya, maka ia tidak lagi mempunyai dhamir mustatir. Jika تَكُنْ tidak mempunyai dhamir mustatir, maka مَهْمَا tidak boleh di’irab sebagai mubtada’ kerana tidak ada rabit (Arab: رَابِط) yang menghubungkan di antara mubtada’ dan khabarnya, iaitu jumlah تَكُنْ.

Jika مَهْمَا tidak boleh menjadi mubtada’ maka ia dikira sebagai unit yang tidak mempunyai kedudukan i’rab (Arab : لَا مَحَلَّ لَهَا مِنَ الاعْرَاب). Jika tidak mempunyai kedudukan i’rab maka sudah tentu ia adalah huruf.

5. Jawab Ibn Hisyam;

Sebenarnya isim تَكُنْ adalah dhamir mustatir. Frasa مِنْ خَلِيقَةٍ itu didatangkan untuk menerangkan مَهْمَا. Hal ini sama seperti frasa مِنْ آيَةٍ dalam ayat مَا نَنسَخْ مِنْ آيَةٍ [al-Baqarah : 106], di mana frasa مِنْ آيَةٍ di situ menerangkan مَا.

Jadi I’rab bait Zuhair tersebut ialah مَهْمَا mubtada’ dan تَكُنْ adalah khabar. Disebabkan مَهْمَا dii’rab mubtada’ maka sudah tentu ia adalah isim, bukan huruf. Kesimpulannya kalimah مَهْمَا pada Ibn Hisyam adalah isim syarat

Kongsikan Artikel Ini: