Kitab tafsir ini dikarang oleh dua orang ulama besar yang hidup di antara kurun ke-8 dan ke-9 hijrah. Hubungan kedua-dua pengarang ini adalah hubungan guru dan murid. Imam Jalaluddin al-Mahalli (791–864H) adalah guru dan Imam Jalaluddin al-Sayuti (849-911H) pula adalah murid.
Bahagian yang dikarang oleh Imam al-Mahalli bermula dari awal surah al-Kahfi sehingga akhir surah al-Nas kemudian diikuti surah al-Fatihah. Belum sempat beralih ke tafsir surah al-Baqarah ajal beliau dijemput Ilahi, rahimahullah. Selepas sekitar enam tahun kewafatan beliau, muridnya Imam al-Sayuti rahimahullah yang ketika itu berusia di antara 21 dan 22 tahun mula mentafsirkan surah-surah yang berbaki, iaitu daripada awal surah al-Baqarah sehingga akhir surah al-Isra’ mengikut metode yang sama yang digunapakai oleh gurunya sebelum ini.
Kata Imam al-Sayuti di akhir surah al-Isra’,
هذا آخِر ما كَمَّلتُ به تفسيرَ القرآن الكريم الذي أَلَّفَهُ الشيخ الإمام العالم المحقق جلال الدين المحلى الشافعي رضي الله عنه
“Ini adalah bahagian terakhir tafsir al-Quran al-Karim yang aku sempurnakan, yang dikarang oleh al-Syaikh al-Imam al-Alim al-Muhaqqiq Jalaluddin al-Mahalli al-Syafie r.a…”
Imam al-Sayuti hanya mengambil masa sekitar 40 hari untuk menyiapkan tafsirnya yang bermula daripada awal surah al-Baqarah sehingga akhir surah al-Isra’. Perkara ini diceritakan selepas ayat terakhir surah al-Isra’.
وفرغ من تأليفه يوم الأحد عاشر شوال سنة سبعين وثمانمائة وكان الابتداء في يوم الأربعاء مستهل رمضان من السنة المذكورة
“Beliau (al-Sayuti) selesai mengarangnya pada Ahad hari ke-10 Syawwal tahun 870H dan beliau mula mengarang pada hari Rabu awal Ramadan tahun yang sama.”
Sumber utama tafsir al-Jalalain seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Sayuti di dalam kitab بغية الوعاة في طبقات اللغويين والنحاة ketika memperkatakan tentang الإمام موفق الدين الكواشي الموصلي ialah تفسير الكَوَّاشِي oleh Imam Muwaqquddin al-Kawwasyi, تفسير البيضاوي dan تفسير ابن كثير.