Antara perkara yang boleh dilakukan oleh pelajar bahasa Arab selain mengumpul kosa kata baharu adalah mendalami kosa kata yang sudah sedia ada. Contohnya perkataan جميل ; semua tahu maksudnya cantik, tapi berapa ramai yang tahu ia juga bermaksud ‘budi / jasa baik’. Frasa ناكِر الجميل bererti ‘seorang yang tak kenang jasa / budi’.
Perkataan شدّ dan حِيل bila digabungkan seperti شد حيلك bermaksud ‘be strong’. Perkataan كثير. Semua kita tahu maksudnya ‘banyak’. Tapi tak ramai yang tahu perkataan ini juga digunakan untuk menggambarkan tempoh masa lama yang perlu ditunggu. Misalnya seseorang berkata, aku akan sampai petang nanti. Waktu itu pukul 8.00 pg. Kita cakap, كثير ‘lamanya’.
Contoh lain perkataan رأس ; kepala. Perkataan ini digunakan untuk menterjemah perkataan ‘ekor’ dalam ayat seperti ’50 ekor lembu’. Kita sebut خمسون رأسا من البقر. Walaupun terang-terang disebut ekor, kita tidak menterjemahkannya ذيل ; ekor.
Kesimpulannya ialah selain mengumpul perkataan baharu, kita juga giat memperluaskan maklumat tentang perkataan yang sudah sedia ada.
Jalan pintas untuk perkara ini adalah dengan membaca bahan bacaan berbahasa Arab seperti surat khabar, novel, cerpen dan sebagainya. Bila jumpa sesuatu perkataan yang sudah diketahui tapi di situ membawa maksud yang lain, sila buat sedikit catatan.
Untuk yang baru nak mula, saya ingin nasihatkan bahawa permulaan memang agak sukar. Tapi boleh dilakukan. Begini caranya. Jangan tinggalkan perkataan yang tak tahu pada 20 halaman yang pertama. Buka almaani, tengok satu persatu perkataan yg tidak diketahui maksudnya. Jangan tinggal walaupun satu perkataan. Bila habis 20 muka surat tu, cuba lihat perubahan pada diri anda. Amat mengagumkan. Saya pernah lakukan pada buku al-manhaj al-harakiyy li al-sirah al-nabawiyyah, munir ghatban yg akhirnya saya terjemahkan kitab tersebut ke dalam bahasa Melayu.
Memang meletih dan membosankan. Tak larat. Tak sabar. Malas. Semua perasaan itu akan ada selagi kita dipanggil manusia. Abaikan. Sebijik macam nak diet, 5 hari pertama macam penghuni pusat serenti. Perut tak lapar, mulut yang lebih-lebih.
Mata tak ngantuk, masih boleh membaca dan mencari makna perkataan. Tapi perasaan malas tu sangat tebal. Bila boleh lepas peringkat ni, maka anda boleh menarik nafas lega.