Jun 4, 2023
Tips Membaca Kitab Nahu
Ditulis Oleh: Ashafizrol Ab Hamid

Kepada penuntut-penuntut jurusan bahasa Arab, berikut adalah nasihat saya ketika membaca buku-buku Nahu:

1. Bahagikan buku-buku Nahu kepada tiga bahagian, pertama yang mesti dibaca hampir setiap hari, kedua bacaan santai dan ketiga dijadikan rujukan ketika perlu.

2. Bahagian pertama, iaitu yang mesti dibaca berulang-ulang kali ialah syarah al-Ajurrumiyyah al-Sanhuri, Syarah Qatrun Nada Ibn Hisyam, Syarah Syuzur al-Zahab Ibn Hisyam, Audhah al-Masalik Ibn Hisyam dan Mughni al-Labib Ibn Hisyam. Buku-buku ini perlu dibaca dan diulang-ulang seberapa banyak yang boleh. Lepas habis ulang, lepas habis ulang sampai bila-bila.

3. Bahagian kedua ialah bacaan santai (subjektif; bergantung kepada penguasaan buku-buku bahagian pertama tadi). Buku-buku yang saya cadangkan ialah al-kitab Sibawaih (Baca Syarah al-sirafi), Ma’ani al-Quran al-Farra’ (al-Quran; yang ini setiap hari), Fi al-Nahw al-‘Arabi al-Makhzumi (baca walaupun sekali seumur hidup) dll.

4. Bahagian ketiga ialah bacaan untuk dijadikan rujukan. Buku-buku Nahu dalam bahagian ini dibahagikan kepada dua. Pertama yang ditulis sebelum kemunculan Ibn Malik, kurun ke-6 hijrah dan kedua yang ditulis selepas beliau. Cara penulisan Nahu dua tempoh masa ini sangat berbeza. Dengan membaca atau merujuk kedua-duanya, cara berfikir Nahu kita akan menjadi lebih terbuka, luas dan kemas.

5. Jangan berkhayal. Fokus pada bacaan menyeluruh. Bukan cedok sana dan sini. Elak dari berjidal Nahu. Buat sesuatu. Lihat kekosongan yang belum diisi dan cuba isikannya. Lihat masalah dan fikir cara menyelesaikannya dari dalam, bukan hanya menutup agar tidak kelihatan.

6. Jangan seronok himpun kitab tapi sedih kerana tidak membacanya. Baca sedikit tak apa asalkan diulang berkali-kali. Sentiasa kemas kini maklumat. Jadi pengkaji betul-betul, bukan acah-acah atau pengkaji separuh masa.

Kongsikan Artikel Ini: